fbpx

Samsung Galaxy A70 lulus ujian pengesahan SIRIM dengan satu kekurangan ketara

Samsung telah melancarkan secara rasmi, dua lagi model Galaxy Siri-A minggu lepas di Bangkok. Galaxy A70 dan Galaxy A80 yang baru ini dijangkan mula berada di pasaran seawal hujung bulan ini.

Kedua-dua model baru ini menampilkan skrin besar 6.7-inci bersama pemproses yang lebih berkuasa dari siri-A sebelum ini. Malaysia dijangka akan menerima Galaxy A70 dan Galaxy A80 sekitar bulan Mei depan.

Samsung Malaysia memberitahu kami bahawa Galaxy A80 di Malaysia akan datang dengan fungsi NFC, membolehkannya menyokong sistem pembayaran Samsung Pay. Tetapi ia mungkin berbeza dengan Galaxy A70.

Galaxy A70 ditemui telah lulus pengesahan SIRIM minggu lepas. Dalam senarai tersebut, ia memberitahu beberapa ciri-ciri Galaxy A70 seperti sokongan dwi-sim, serta pelbagai rangkaian 4G LTE. Ia turut menyokong WiFi 5GHz di samping 2.4GHz.

Tetapi sambungan NFC tidak disenaraikan di dalam pengesahan SIRIM tersebut. Jika tiada NFC, bermakna Galaxy A70 tidak boleh menyokong penggunaan Samsung Pay. Fungsi ini boleh memberikan perbezaan ketara berbanding Galaxy A70 dan peranti kelas pertengahan yang lain.

Dengan Samsung Pay, pengguna boleh menyimpan kad debit/kredit mereka di dalam telefon, dan menggunakan telefon sebagai cara membayar Visa Paywave atau Mastercard Paypass. Tidak perlu mengeluarkan kad dari dalam dompet untuk membuat bayaran.

Sebelum ini, Samsung Malaysia mempersiapkan Samsung Pay ke dalam Galaxy A5 dan A7 versi 2016 dan 2017. Ia turut dipasang ke dalam Galaxy A7 dan Galaxy A9 yang dilancarkan tahun lepas, tetapi tiada sokongan MST untuk pembaca kad model lama memerlukan kad dileret garisan magnetiknya.

BACA  Flagship Huawei Yang Seterusnya Akan Ada 2 Kamera 40MP?

Galaxy A70 ialah peranti kelas pertengahan dengan fungsi dan prestasi tinggi. Ia dikuasakan cip Snapdragon 675 bersama RAM 6GB atau 8GB, dan storan dalaman 128GB. Ia juga menerima kad mikroSD sebagai storan tambahan.

Peranti ini menampilkan tiga kamera belakang, iaitu kamera utama 32MP, kamera ultra lebar 8MP dan kamera pengesan kedalaman 5MP. Untuk kamera hadapan, ia dipasang kamera 32MP. Baterinya sebesar 4,500mAh dan menyokong pengecasan pantas baru Samsung 25W melalui USB-C.