Apple kembali menyambung silaturrahim yang terputus dengan Qualcomm

Sebelum ini agak sengit juga persengketaan antara Apple dan Qualcomm. Satu pihak mengatakan bayaran royalti tidak munasabah dan satu lagi meminta bayaran royalti disegerakan. Disebabkan hubungan yang keruh ini, Apple cuba mencari alternatif bagi mendapatkan stok cip rangkaian mudahalih yang sebelum ini disediakan oleh Qualcomm.

Tetapi hari ini Apple dan Qualcomm mengumumkan penyelesaian terhadap semua proses perundangan seperti saman menyaman yang telah mereka lakukan sesama sendiri. Ini membuka lembaran baru buat kedua-dua syarikat.

Penyelesaian ini juga menyaksikan terpatrinya perjanjian lesen selama 6-tahun, bermula dari 1 April 2019 dan ini termasuk pilihan untuk melanjutkannya lagi 2 tahun. Pelbagai cipset akan disalurkan setiap tahun.

Apple juga akan membayar royalti kepada Qualcomm dan semua proses perundangan yang berjalan akan dihentikan dan ditarik balik, termasuk tuntutan membabitkan kontrak pengeluar Apple. Perkara ini menyumbang perolehan besar buat Qualcomm dalam bidang pelesanan dan mengukuhkan kedudukan Qualcomm sebagai pemilik harta intelek tersebut.

Apple dikatakan mengambil langkah penyelesaian bersama Qualcomm selepas Intel membuat pengumuman untuk berhenti menghasilkan modem 5G di telefon pintar. Intel sebelum ini ialah salah satu pembekal modem 4G di iPhone, yang membawa sengketa terhadap Apple dan Qualcomm.

Satu lagi pengeluar cip modem 5G ialah Huawei. Huawei sendiri baru-baru ini telah mengeluarkan kenyataan terbuka di mana mereka bersedia untuk bekerjasama dengan Apple. Tetapi melihatkan tindakan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump yang terus berkempen anti-Huawei, pasti sedikit sebanyak mempengaruhi keputusan Apple.

Ini membuatkan Apple tiada pilihan lain, iaitu kembali menjernihkan keadaan bersama Qualcomm. Jika tidak, iPhone mungkin tidak akan menyokong rangkaian 5G dalam masa terdekat.

BACA  Pelancaran Galaxy Fold Ditunda Atas Sebab-Sebab Tertentu

Dua pengeluar telefon pintar terbesar dunia, Samsung dan Huawei telah pun melancarkan telefon 5G mereka sendiri. Mungkin ini juga menambah tekanan kepada Apple untuk bertindak lebih pantas.

[Sumber: Apple, Qualcomm, Intel]