Nampaknya masalah skrin boleh lipat di Galaxy Fold tidak terhad pada pelindung skrin yang tidak sepatutnya dicabut, tetapi lebih banyak dari itu. Youtuber terkenal, MKBHD melaporkan beliau tersilap mencabut ‘pelindung skrin’ yang tidak sepatutnya dicabut dan mengakibatkan skrin Galaxy Fold tidak berfungsi.
Samsung telah mengedarkan unit demo Galaxy Fold kepada beberapa media di Amerika Syarikat. Selepas sehari dua ia digunakan, media-media mula melaporkan masalah yang mereka hadapi dengan Galaxy Fold.
CNBC melaporkan, unit mereka tidak dicabut pelindung skrin tersebut tetapi skrin kiri di dalam, mula berkelip-kelip apabila dibuka. Ia berlaku pada hari kedua Galaxy Fold digunakan.
Di The Verge pula, Galaxy Fold mereka kelihatan satu garisan putih di tempat lipatan skrin. Malah, dapat dirasakan terdapat satu bonjolan di tengah skrin.
Menurut penulis The Verge, Dieter Bohn, beliau menggunakan Galaxy Fold seperti biasa. Tidak melakukan sebarang kekasaran padanya. Tetapi, beliau ada meletakkan tanah liat di bahagian engsel di belakang sewaktu mahu mengambil gambar Galaxy Fold. Mungkin ada tanah liat yang tertinggal di engsel yang membuatkan masalah ini terjadi.
Di Bloomberg pula, wartawannya melaporkan Galaxy Fold mereka juga turut rosak. Pada mulanya paparan menjadi caca merba dan beberapa ketika kemudian, ia langsung tidak boleh digunakan.
Tidak lama selepas itu, beliau mengaku telah mencabut pelindung skrin di Galaxy Fold. Beliau melihat lapisan plastik ini seperti boleh dicabut dari sudut, jadi ia pun dicabut. Seterusnya, paparan tersebut pun mati.
Samsung sebelum ini cuba meyakinkan orang ramai dengan video demonstrasi Galaxy Fold dilipat dan dibuka 200,000 kali. Ia untuk membuktikan Galaxy Fold tahan lasak untuk digunakan seharian.
Galaxy Fold telah dijadualkan akan dilancar di Malaysia pada 3 Mei 2019. Semoga masalah yang dialaminya berjaya diselesaikan sebelum ia tiba di Malaysia. Jika tidak, pelancarannya mungkin perlu ditangguhkan.