Sime Motors secara rasmi melancarkan BYD Sealion 7 2026 di Malaysia. Walaupun perubahan yang dibawakan pada model baharu ini kelihatan agak minimum dari segi luaran dan dalaman, ia sebenarnya menerima beberapa naik taraf penting, termasuk bateri lebih besar, pengecasan lebih pantas serta pengenalan varian baharu yang menjadikan harga permulaannya lebih rendah.
Harga BYD Sealion 7 2026 di Malaysia

Buat pertama kalinya, siri Sealion 7 kini ditawarkan dengan varian Dynamic sebagai pilihan paling asas. Berikut ialah harga jualan BYD Sealion 7 2026 di Malaysia:
- BYD Sealion 7 Dynamic RWD – RM163,800
- BYD Sealion 7 Premium RWD – RM188,800
- BYD Sealion 7 Performance AWD – RM203,800
Dari segi jaminan, semua varian didatangkan dengan waranti kenderaan selama 6 tahun atau 150,000km, serta waranti berasingan selama 8 tahun atau 160,000km untuk bateri EV dan unit pacuan.
Setiap pembelian turut disertakan dengan penyesuai Vehicle-to-Load (V2L) serta pengecas AC mudah alih Type 2 dengan palam tiga pin sebagai kelengkapan standard.
Sempena pelancaran, 300 pelanggan pertama yang membeli BYD Sealion 7 Dynamic akan menerima rebat pelancaran bernilai RM4,000, sekali gus menjadikan harganya serendah RM159,800. Sebagai alternatif, pembeli juga boleh memilih untuk mendapatkan pengecas AC wallbox percuma menggantikan rebat tersebut. Tawaran wallbox ini bagaimanapun diberikan kepada semua pembeli Sealion 7.

Bagi varian Premium dan Performance, tiada rebat pelancaran ditawarkan. Namun, kedua-dua model ini turut didatangkan dengan pengecas AC wallbox percuma, selain bonus tukar beli (overtrade) bernilai RM3,888 untuk Premium dan RM2,888 bagi Performance.
Pelanggan yang membuat tempahan BYD Sealion 7 2026 di acara jelajah pelancarannya di 1 Utama hujung minggu ini turut akan menerima kredit pengecasan percuma bernilai RM200.
Apa yang baharu pada BYD Sealion 7 2026?

Tidak seperti BYD Atto 3 yang menerima perubahan ketara pada facelift terbaharunya, Sealion 7 2026 masih mengekalkan reka bentuk luaran dan dalaman yang hampir sama seperti model yang diperkenalkan pada 2024.
Sebaliknya, perubahan terbesar diberikan pada sistem bateri serta keupayaan pengecasannya.
Bateri lebih besar, jarak pemanduan lebih jauh

Varian Sealion 7 Premium dan Performance kini menggunakan bateri BYD Blade LFP berkapasiti 91.39kWh, lebih besar berbanding bateri 82.5kWh yang digunakan pada model terdahulu.
Dengan kapasiti bateri yang lebih besar, jarak pemanduan turut meningkat:
- Premium RWD – sehingga 650km (NEDC) atau anggaran 553km (WLTP)
- Performance AWD – sehingga 600km (NEDC) atau anggaran 510km (WLTP)
Selain itu, kedua-dua varian ini kini menyokong pengecasan pantas DC sehingga 230kW, meningkat daripada 150kW sebelum ini.
Ruang but juga dipertingkatkan daripada 500L kepada 520L, dan boleh diperluaskan sehingga 1,789L apabila tempat duduk belakang dilipat.
Dari segi pilihan warna, BYD turut memperkenalkan warna baharu Ultraviolet, yang eksklusif untuk varian Premium. Pilihan warna lain termasuk Aurora White, Atlantis Grey, Shark Grey dan Cosmos Black.
Varian Dynamic jadikan harga lebih mampu milik

Perubahan paling besar pada BYD Sealion 7 2026 ialah pengenalan varian Dynamic, yang kini menjadi model asas dalam keluarga Sealion 7. Kehadiran varian ini secara tidak langsung menurunkan harga permulaan Sealion 7 di Malaysia.
Walaupun masih menggunakan pacuan roda belakang (RWD) seperti varian Premium, Sealion 7 Dynamic dilengkapi motor elektrik yang kurang berkuasa, menghasilkan 170kW (228hp) dan tork 380Nm.

Ia juga menggunakan bateri 71.8kWh, sekali gus menawarkan jarak pemanduan paling rendah dalam siri ini, iaitu sehingga 520km (NEDC) atau anggaran 442km (WLTP). Dari segi pengecasan, Sealion 7 Dynamic menyokong pengecasan pantas DC sehingga 110kW, manakala pengecasan AC dihadkan kepada 7kW.
Selain itu, tempat duduk pemandunya tidak dilengkapi pelarasan sokongan lumbar empat hala serta pelarasan elektrik untuk sokongan paha, yang hanya tersedia pada varian lebih tinggi.
Menariknya, dari segi luaran, varian Dynamic kelihatan hampir sama dengan varian Premium dan Performance. Jadi, agak sukar untuk membezakan ketiga-tiganya hanya berdasarkan rupa luaran.






