Berita baik buat peminat jenama Nothing! Nothing kini mengumumkan penurunan harga buat telefon pintar flagship Nothing Phone (3) di Malaysia. Dilancarkan pada Julai 2025, telefon flagship ini kini ditawarkan pada harga serendah RM2,599, iaitu RM400 lebih murah berbanding harga sewaktu pelancarannya.
Selain harga baharu, pembelian Nothing Phone (3) turut disertakan dengan set barangan edisi terhad Nothing secara percuma, selagi stok masih ada.
Harga baharu Nothing Phone (3) di Malaysia

Berikut ialah harga baharu Nothing Phone (3) di Malaysia mengikut konfigurasi memori:
- RAM 12GB + 256GB –
RM2,999RM2,599 - RAM 12GB + 512GB –
RM3,499RM2,999
Ini bermakna varian 12GB+256GB menerima potongan RM400, manakala varian 16GB+512GB kini lebih murah RM500 berbanding sewaktu pelancarannya pada Julai 2025.
Sebagai tambahan, setiap pembelian Nothing Phone (3) akan menerima set barangan edisi terhad Nothing secara percuma. Tawaran ini sah selagi stok masih ada dan tertakluk kepada saluran jualan yang mengambil bahagian.
Dengan harga baru ini, Nothing Phone (3) boleh dibeli menerusi laman web rasmi Nothing, Shopee, Lazada, TikTok Shop serta Nothing Image Store. Ia turut ditawarkan melalui pengedar sah termasuk TMT, Urban Republic dan peruncit sah lain di seluruh negara.
Dalam pada itu, Nothing juga melantik Dynamics sebagai rakan pusat servis sah bagi mengendalikan tuntutan waranti, pemeriksaan dan penggantian peranti. Pengguna boleh mendapatkan bantuan melalui kedai tempat pembelian atau penjual dalam talian yang sah.
Spesifikasi Nothing Phone (3)

Sebagai imbas kembali, Nothing Phone (3) dikuasakan cip Snapdragon 8s Gen 4 dengan pilihan RAM sehingga 16GB dan storan dalaman sehingga 512GB.
Di bahagian depan, ia menerima panel berukuran 6.67″ jenis LTPS AMOLED beresolusi 1.5K dengan kadar segar semula 4,500 nits. Telefon ini turut mengekalkan identiti Nothing dengan panel belakang lutsinar. Ia turut dilengkapi Glyph Matrix, iaitu paparan dengan 489 LED di bahagian belakang yang boleh digunakan untuk memaparkan maklumat dan notifikasi tertentu.
Untuk fotografi, Nothing Phone (3) mempunyai empat kamera 50MP, merangkumi kamera utama dengan penstabilan imej optikal (OIS), kamera periskop dengan OIS, kamera ultra lebar dan kamera hadapan.

Menyalurkan tenaga pada peranti adalah bateri 5,150mAh yang menyokong pengecasan 65W berwayar dan 15W wayarles. Ia juga menyokong pengecasan terbalik berwayar 7.5W dan wayarles terbalik 5W.
Nothing juga memaklumkan telefon ini akan menerima Nothing OS 5.0 menerusi program Open Beta. Antara perubahan yang diperkenalkan termasuk penggunaan fon Geist, ikon dan susun atur yang direka semula serta animasi yang lebih lancar.

Dari segi sokongan perisian, Nothing Phone (3) dijanjikan kemas kini Android selama lima tahun dan kemas kini keselamatan selama tujuh tahun.
Untuk maklumat lanjut tentang spesifikasi, layari laman produk Nothing Phone (3).






