fbpx

OPPO F11 Pro Edisi Terhad sertai barisan penyelamat dunia di Avengers: Endgame

Serentak dengan tayangan perdana filem Avengers: Endgame hari ini, Oppo turut melancarkan satu edisi khas telefon pintar mereka. Oppo F11 Pro kini menyertai adiwira Avengers dalam bentuk edisi terhad.

Telefon pintar edisi terhad Oppo F11 Pro Marvel Avenger hanya terdapat di beberapa negara, dan Malaysia menjadi salah satu negara terpilih. Jika anda peminat Avengers, telefon pintar OPPO F11 Pro ini sangat sesuai menjadi salah satu koleksi anda.

Secara teknikal, tidak ada perbezaan antara edisi terhad ini dan F11 Pro yang biasa. Kecuali pada satu perkara. Storan F11 Pro Marvel Avenger Edisi Terhad digandakan ke 128GB, berbanding hanya 64GB di F11 Pro biasa.

Selain itu adalah sama. Ia memiliki skrin tanpa takuk berukuran 6.5-inci dengan resolusi HD Penuh+. Kuasanya pula digerakkan oleh cip pemproses Mediatek Helio P70, bersama RAM 6GB.

Kamera belakangnya dwi-lensa, gabungan lensa utama 48MP dan lensa kedua pengesan kedalaman 5MP. Kamera hadapan pula, tersembunyi di dalam modul boleh simpan. Kamera swafoto ini menggunakan sensor 16MP.

Bateri di dalam sebesar 4,000mAh dan datang dengan pengecas VOOC 3.0 tetapi sayang, masih menggunakan port mikroUSB bukan USB-C. Pengimbas capjari fizikal terletak di belakang, di bawah kamera.

Perbezaan ketara F11 Pro Marvel Avenger ialah di luar. Kemasan belakangnya menggunakan warna biru dua tona, yang berubah antara biru cerah dan biru gelap. Logo Avengers iaitu huruf A berwarna merah turut ditampal di belakang telefon. Menambah keunikan telefon ini ialah logo kecil Avengers di atas kamera belakang.

Di hadapan mungkin tidak kelihatan perbezaan, tetapi ia terserlah apabila skrin dihidupkan. Wallpaper Avengers terpampang di atas skrin. Ia turut dijadikan latar untuk kunci skrin.

BACA  OPPO Reno2 Dengan Zum 20x Temui Peminatnya Penghujung Ogos 2019

Keistimewaan edisi terhad ini ditambah lagi dengan kotak khas berwarna hitam, dengan logo Avengers dicetak padanya. Apabila dibuka, dapat kelihatan butang logo adiwira Avengers iaitu Thor, Captain America, Iron Man, Black Widow, Hulk dan Hawkeye.

Oppo turut memberikan casing khas bersama edisi terhad ini. Casing tersebut berwarna biru dan memiliki perisai Captain Amerika yang tertonjol. Ia berfungsi seperti cincin yang memudahkan telefon dipegang.

Telefon pintar edisi terhad ini dijual pada harga RM1,399, sama seperti F11 Pro biasa semasa dilancarkan. Tetapi kini, edisi biasa telah dikurangkan harga kepada RM1,299. Dengan tambahan RM100, adalah sangat berbaloi untuk mendapatkan edisi terhad ini kerana anda menerima bukan sahaja storan diganda, tetapi pelbagai barangan lain yang sesuai menjadi simpanan peminat Avengers.

Untuk yang berminat, tempahan awal Oppo F11 Pro Marvel Avenger Edisi Terhad dibuka bermula hari ini sehingga 3 Mei 2019. Tempahan awal boleh dibuat di Stor Rasmi Oppo serta pengedar sah, dan juga dalam talian di Stor Online Oppo, Lazada dan Shopee. Orang ramai juga boleh mendapatkan telefon ini di Celcom.