fbpx

Kenapa Tun Dr Mahathir guna iPhone?

Perdana Menteri Malaysia, YAB Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad terkenal sebagai seorang yang bekerja keras dalam melaksanakan tugasnya. Walaupun telah berusia 93 tahun, beliau dilihat masih cergas untuk menjalankan tugasan seharian.

Di zaman digital masa kini, sudah pasti semua orang memiliki telefon pintar di sampingnya. Perkara ini tidak terkecuali bagi Perdana Menteri kita sendiri dan baru-baru ini, heboh diperkatakan tentang telefon yang beliau gunakan, kelihatan semasa menghadiri sidang kemuncak meja bulat di Forum Jalur dan Laluan di Beijing, China.

Sekali pandang je kita dah tau, telefon itu ialah iPhone keluaran Apple. Tetapi model yang mana? Selepas membuat penyeledikan di makmal Google Search, kami dapat merumuskan telefon pintar yang dimiliki oleh Perdana Menteri Malaysia ialah iPhone 7 Plus berwarna Silver.

Walaupun ada cakap-cakap mengatakan ia mungkin iPhone 8 Plus kerana rupanya yang amat serupa, tetapi itu bukan perkara utama yang nak kita bincangkan. Benda yang hendak kita bahaskan di sini ialah, kenapa ketua eksekutif tertinggi di Malaysia, menggunakan iPhone dan tidak telefon pintar jenis lain.

Sebenarnya, adalah lebih mudah kita terus bertanyakan pada empunya badan kenapa beliau berbuat begitu. Tetapi untuk membuat perbincangan ilmiah, penulis ingin melontarkan pendapat sendiri di samping mahu pembaca bersama-sama berkongsi pendapat untuk bersetuju atau tidak dengan penulis.

Kenapa iPhone?

Jawapannya semudah penggunaannya. Untuk menggunakan iPhone adalah mudah. Berbanding Android, lebih banyak langkah diperlukan untuk mencapai sesuatu. Contohnya mengambil gambar, aplikasi kamera iOS tidak banyak kerenah dan pilihan. Buka app, ambil gambar, lihat hasilnya.

Apple sendiri, cuba menyorokkan banyak perkara yang jarang digunakan pengguna jauh ke dalam tetapan, atau berada di tempat lain. Contohnya untuk mengubah resolusi rakaman video, ia tidak terdapat di dalam app kamera. Tetapi hanya boleh ditukar di dalam setting telefon.

BACA  Galaxy Note 10+ Unboxing: Samsung Dah Kena Penyakit Apple?!

Perkara ini bukan kerana Apple mahu menyembunyikan sesuatu, tetapi memudahkan pengguna agar tidak pening dengan pilihan yang terlalu banyak. Pendek kata, Apple menentukan apa yang patut pengguna guna.

Kemaskini sistem operasi iOS yang merangkumi hampir semua peranti iPhone walaupun model lama, menjadikan antaramukanya sama walau di apa jua model iPhone. Ia satu lagi perkara yang menjadikannya mudah digunakan tidak kira di iPhone 6 atau iPhone XS.

Privasi

Dalam dunia teknologi sekarang, Apple dilihat paling kurang bermasalah dengan kebocoran data dan privasi. Berbanding Google dan peranti Android yang dihasilkan oleh pelbagai pengeluar yang memiliki standard berbeza.

Tahun lepas, Google didakwa cuba memaksa pengguna mengaktifkan fungsi sejarah lokasi melalui pelbagai servis Google di web dan aplikasi. Dikatakan, Google masih terus menjejak lokasi pengguna walaupun tetapan lokasi telah dimatikan.

Apple pula, jarang menerima aduan masalah privasi pada produk keluaran mereka. Malah, Apple sendiri pernah menolak permohonan FBI untuk akses ke data milik penjenayah.

Ketua Pegawai Eksekutif Apple, Tim Cook

Ketua Pegawai Eksekutif Apple, Tim Cook sendiri memperjuangkan privasi di dalam dunia teknologi. Beliau menghentam syarikat teknologi lain terutama Facebook dan Google yang cuba memanipulasi data pengguna untuk kepentingan sendiri.

Apple juga terbuka dalam memaklumkan dunia berkenaan permintaan kerajaan berkenaan permohonan yang dibuat untuk akses ke data pengguna. Ia dilakukan selepas melalui proses undang-undang.

Standard Pemimpin Dunia

Pemimpin-pemimpin utama dunia telah ramai beralih ke iPhone. Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump dan Perdana Menteri United Kingdom, Theresa May terpaksa menggunakan iPhone kerana alasan keselamatan. Malah, iPhone mereka mempunyai fungsi dan aplikasi terhad.

Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump

Selain itu, Presiden Perancis, Emmanuel Macron dan juga Perdana Menteri India, Narendra Modi, juga dilaporkan menggunakan iPhone sebagai peranti peribadi mereka.

BACA  iPhone XR dan iPhone 8 turun harga kekal bermula hari ini
Perdana Menteri India, Narendra Modi

Mungkin dengan sama-sama menggunakan iPhone, ia akan memudahkan pemimpin dunia untuk berkongsi fail dan gambar melalui Airdrop.

Ini pendapat saya tentang mengapa iPhone menjadi pilihan Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad. Walaupun saya sering memberi ulasan yang tegas terhadap iPhone, tetapi saya mengakui iPhone ada kelebihan tersendiri.

Adakah anda bersetuju dengan tulisan ini? Boleh tinggalkan komen dalam ruangan bertulis di bawah.