Google baru sahaja mengumumkan versi bajet Pixel 3a dan Pixel 3a XL. Pada harga bermula USD 400 (RM 1,659), ada yang mengatakan yang inilah telefon yang sepatutnya Google hasilkan. Telefon yang memenuhi semua keperluan asas serta pada harga yang tepat.
Tapi, walaupun segala yang dipersembahkan di Google I/O 2019 tentang telefon ini nampak manis, sudah tentu ada bahagian yang tidak diwar-warkan, terutamanya yang mengundang kritikan.
Mari kita bandingkan Pixel 3a dengan Pixel 3 mengikut specs masing-masing.
Perbandingan Google Pixel 3a & Pixel 3
[table “183” not found /]Perbandingan Google Pixel 3a XL & Pixel 3 XL
[table “184” not found /]Paparan
Untuk keselamatan paparan, Pixel 3a tidak lagi menggunakan lapisan Corning Gorilla Glass 5 seperti yang boleh ditemui pada produk sebelum ini. Tapi anda jangan ingat tiada sebarang perlindungan pula kerana paparan Pixel 3a dilindungi kaca Dragontrail, produk pesaing kepada Gorilla Glass.
Paparan Pixel 3a 0.1″ lebih besar berbanding Pixel 3, 5.6″ berbanding 5.5″ . Walaupun kedua-duanya menggunakan panel beresolusi penuh daripada jenis OLED, nisbah paparan Pixel 3a lebih panjang pada nisbah 18.5:9 berbanding 18:9 pada Pixel 3.
Versi 3a XL pula diberikan paparan sebesar 6.0″, sedikit kecil berbanding 3 XL dengan paparan 6.3″.
Kedua-dua Pixel 3a dan 3a XL tidak miliki notch. Maka anda beroleh sebuah telefon dengan bingkai hitam yang besar kalau anda tak kisah tentang estetik.
System-on-Chip (SoC)
Pada bahagian ini perbahasan pengguna selalunya tertumpu. Perlu diingatkan yang Google hadir dengan Pixel 3a bagi membolehkan lebih ramai pengguna menikmati ekosistem Google yang lengkap tanpa perlu berbelanja besar.
Memang benar, Pixel 3a menggunakan SoC kelas pertengahan iaitu Snapdragon 670 (SD 670). Sebagai perbandingan Pixel 3 menggunakan SoC flagship 2018, Snapdragon 845 (SD 845) yang lebih berkuasa.
Daripada segi penjimatan tenaga, berita baik untuk anda kerana SD 670 adalah hasil fabrikasi 10nm, sama seperti SD 845. Cumanya, SD 670 adalah SoC 8 teras dengan clockspeed sehingga 2.0 Ghz sedangkan SD 845 turut miliki 8 teras tapi pada clockspeed sehingga 2.8 Ghz.
Tapi, Google boleh memilih menggunakan SoC lebih segar seperti Snapdragon 675 yang boleh ditemui pada Galaxy A70 ataupun Snapdragon 710 ataupun lebih bagus Snadpragon 730. Hal ini kerana SD 670 agak berusia dan pastinya tak lama lagi tidak mampu mendukung sistem operasi Android yang semakin canggih.
RAM & Storan
Google memgambil langkah paling minimum apabila memateri 4GB RAM di atas papan utama Pixel 3a dan 3a XL. Tentu ramai yang katakan ia tidak mencukupi untuk tahun 2019 dan keatas.
Selain penjimatan kos, saya rasa satu-satunya penjelasan berkaitan amaun RAM yang agak kecil ini adalah keyakinan Google terhadap pengoptimuman Android yang dibangunkan mereka untuk peranti ini. Ia seperti Apple dengan iOS mereka dan jumlah RAM relatif yang rendah berbanding Android sejak sekian lama.
Beralih ke bahagian storan pula, Google Pixel tak pernah menyertakan slot kad mikro-SD walaupun jenis hibrid. Jadi, anda perlu bergantung sepenuhnya pada storan dalam sedia ada. Tak kiralah Pixel 3a ataupun 3a XL, anda hanya beroleh 64GB storan dalaman sedangkan pada edisi terdahulu, ada pilihan sehingga 128GB.
Google Paksa Penggunanya Gunakan Storan Awan?
Lain pula kisahnya dengan pengguna Pixel 2 dan Pixel 3, mereka ini menerima storan tanpa had untuk menyimpan gambar dan video mereka pada resolusi asal. Jadi mereka tentunya tak berdepan dengan masalah storan terhad.
Tapi yang tidak diberitahu Google adalah tawaran itu ada tempoh sahnya.
Namun, tawaran yang sama tidak pula diumumkan untuk Pixel 3a. Jadi, anda perlu sentiasa memantau penggunaan storan anda untuk gambar dan video sekiranya tidak mahu menyimpannya di awan dan mengalamai resize dan dimampatkan.
Sepatutnya, Google menyediakan slot kad SD pada Pixel 3a untuk menampung keperluan penyimpanan penggunanya.
Pengimejan
Untuk kamera belakang, kedua-dua Pixel 3a dan 3 menggunakan modul kamera yang sama. Mereka masih menggayakan konfigurasi ekakamera 12.2MP dengan teknologi pembidikan fokus dual piksel. (dual pixel autofocus).
Anda boleh menjangkakan kualiti gambar sekurang-kurangnya serupa dengan Pixel 3 kerana kesamaan daripada segi algoritma yang digunakan untuk memproses isyarat digital daripada sensor kamera. Tapi, ketiadaan DSP khas untuk memproses isyarat itu seperti yang hadir pada Pixel 3 menyebabkan kelajuan pemerosesan agak perlahan menurut reviu beberapa pihak yang sudahpun menggunakannya.
Bahagian kamera depan pula, sudah tiada dwikamera depan yang bolehakan anda mengambil wefie beramai-ramai.
Bateri
Berita baik sekiranya anda ingin memiliki sebuah Pixel 3a kerana kali ini, anda boleh dapatkan Pixel yang ada bateri terbesar setakat ini dalam keluarganya. Pixel 3a XL miliki bateri 3,700mAh dengan teknologi pengecasan pantas 18W.
Sebagai perbandingan, Pixel 3 XL ada bateri 3,430mAh. Tapi, telefon ini boleh dicas wayarles menggunakan pengecas Qi yang tidak boleh dinikmati Pixel 3a.
Saudara yang lebih kecil, Pixel 3a mengambil tenaga daripada bateri 3,000mAh berbanding 2,915mAh pada Pixel 3. Daripada penggunaan bateri anda boleh jangkakan hayat guna yang lebih panjang dek kapasiti bateri yang lebih besar digandingkan pula dengan SoC hasil fabrikasi 10nm yang dimiliki kedua-dua Pixel 3a dan 3a XL.
Kesimpulan
Sudah tentu telefon bajet miliki kompromi yang perlu anda lakukan dan Pixel 3a tidak terlepas daripadanya. Yang paling ketara adalah pada kualiti binaan. Kali ini, materi polikarbonat digunakan sebagai badan telefon berbanding Gorilla Glass 5.
Kemudian, anda tak lagi menerima storan tanpa had Google Photo pada resolusi asal, seperti yang saya nyatakan sebelum ini. Masih di bahagian kamera, anda hanya terima satu kamera depan 8MP.
Stereo speaker kali ini tidaklah seperti sebelumnya, berbanding stereo sebenar yang keluarkan bunyi menghala ke anda, konfigurasi sterak Pixel 3a adalah faux, yang keluar dari sisi telefon dan di speaker ganggang.
Tapi anda pastinya akan memaafkan kekurangan itu sejurus melihat jek audio 3.5mm di atas badan telefon.
Apa pendapat anda tentang Pixel 3a, adakah ia telefon bajet terbaik Google?