ViewQwest penyedia jalur lebar terpantas Singapura mahu meluaskan liputan melalui rangkaian TM HSBB

ViewQwest merupakan penyedia jalur lebar dari Singapura dan dinobatkan paling pantas oleh Ookla, kini akan mengembangkan perkhidmatan mereka di Malaysia tidak lama lagi. Sebelum ini, ViewQwest telah bertapak di Malaysia melalui pemasangan rangkaian mereka di Lembah Klang dan Johor Bahru.

Tidak lama lagi, mereka akan meluaskan lagi rangkaian mereka menerusi rangkaian TM HSBB. Bermakna, kawasan dengan liputan Unifi akan boleh melanggan pelan ViewQwest.

Semasa bertemu media, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) ViewQwest, Vignesa Moorthy telah berkongsi beberapa perkara. Menurut beliau, mereka akan melancarkan pelan jalur lebar baru di kawasan baru sekitar bulan Jun/Julai. Kadar pelan dan kelajuan yang menggunakan rangkaian TM HSBB akan berbeza mengikut jenis jalurlebar dan penggunaan rangkaian.

ViewQwest mensasarkan untuk memberi kebebasan pilihan kepada pengguna dengan pengalaman terbaik. Mereka amat serius dalam menyediakan pengalaman dunia sebenar yang terbaik seperti yang dibuktikan dalam ujian kelajuan Ookla. Mereka tidak menetapkan sebarang sekatan trafik dan memastikan lebar jalur mereka sentiasa mencukupi untuk semua pengguna.

Bagi memastikan capaian WiFi yang meliputi seisi ruang di rumah, ViewQwest menawarkan Mesh WiFi bernilai RM1,299 kepada pengguna baru. Mereka turut menawarkan perkhidmatan nilai tambah iaitu Freedom DNS. Ia membolehkan pengguna membuka kandungan yang disekat mengikut kawasan, terutama kandungan filem dan drama TV. Pengguna perlu membayar untuk menggunakannya dan ViewQwest mensasarkan untuk memperkenalkannya di Malaysia pada pertengahan tahun ini.

Bagi menarik lebih banyak pelanggan, ViewQwest menawarkan rebat RM500 untuk pengguna jalur lebar tetap sedia ada. Ia sebagai bonus untuk pengguna membayar penalti yang dikenakan kerana berhenti langganan jalur lebar tetap semasa masih di dalam kontrak.

BACA  Kamera Telefon Android Bakal Jadi Lebih Hebat Menjelang Kemas Kini Q

Sebagai tambahan, ViewQwest juga tidak mengenakan bayaran deposit untuk warga asing. Malah, mereka juga menawarkan pelan tanpa kontrak, dengan harga pelan lebih mahal.

Buat masa ini, perkhidmatan ViewQwest terdapat di beberapa pembangunan baru seperti Setia Eco Glades di CyberJaya, Setia Sky 88 dan Suasana Iskandar di Johor Bahru serta di Tropicana Avenue dan Tropicana Gardens di Petaling Jaya. ViewQwest akan meluaskan lagi liputan mereka di kawasan baru menerusi kerjasama atau pengambilalihan. ViewQwest juga memaklumkan, mereka terbuka untuk berkongsi rangkaian mereka bersama penyedia rangkaian lain.

ViewQwest kini menawarkan pelan dalam dua kelajuan, 100Mbps dari RM138/bulan dan 1Gbps dari RM198/bulan. Perbezaan harga adalah mengikut jangka masa kontrak, dan mereka turut menawarkan pelan tanpa kontrak. Semua pelan ini datang percuma bersama kuota tanpa had dan IP statik bernilai RM200/bulan. Harga pelan dan kontrak adalah seperti berikut:

PELANKONTRAKHARGA
ViewQwest 100Mbps 24 bulan RM138
ViewQwest 100Mbps 12 bulan RM148
ViewQwest 100Mbps TIADARM158
ViewQwest 1Gbps 24 bulan RM198
ViewQwest 1Gbps 12 bulan RM208
ViewQwest 1Gbps TIADARM218

Pelan di atas adalah promosi semasa ViewQwest untuk pelanggan di rangkaian 100% milik ViewQwest. Pelan dan harga untuk kawasan HSBB akan diumumkan tidak lama lagi. Kami dimaklumkan, ViewQwest mengembangkan liputan mereka bermula di Lembah Klang dan Johor Bahru seiring dengan pertambahan pasukan sokongan mereka.