fbpx

Zenfone 6 mahu datang dengan konsep baru kamera berputar

Tidak lama lagi ASUS akan melancarkan telefon pintar terbaru mereka, Zenfone 6. Dari beberapa berita yang ASUS sendiri kongsikan sebelum ini, kita mengetahui bahawa Zenfone 6 akan menggunakan skrin tanpa takuk dan lubang.

Masih misteri bagaimana kamera hadapan Zenfone 6 akan digunakan, tetapi ia mungkin sedikit terungkai dengan berita yang dibocorkan Roland Quandt. Menerusi twitter beliau, Roland berkongsi beberapa gambar berkualiti tinggi yang memperlihatkan rupa penuh Zenfone 6.

Dari gambar tersebut, Zenfone 6 memiliki skrin yang rata di depan, bersama kaca melengkung 3D di belakang. Pengimbas capjari fizikal juga terdapat di belakang, memberi maksud ia tidak menggunakan pengimbas capjari di dalam skrin.

Di belakang ini juga dapat dilihat hanya ada dua kamera, yang mengapit LED Flash di tengahnya. Dari maklumat sebelum ini, dua kamera ini ialah kamera utama 48MP dan kamera ultra lebar 13MP.

Untuk kamera hadapan, ASUS mencipta kamera belakang ini boleh berputar ke hadapan. Bermakna, kamera belakang yang sama digunakan untuk kamera hadapan. Cara ini agak serupa dengan Honor 7i yang pernah dilancarkan di China pada tahun 2015.

Menurut laman Sogi, kamera ini boleh diputarkan pada sudut tertentu. Ini menjadikannya lebih mudah digunakan berbanding Galaxy A80 yang menggunakan gelungsur dan memutarkan kamera belakang ke hadapan 180-darjah. Tetapi masih tidak jelas adakah ia diputarkan secara manual atau bermotor.

Dalam maklumat sebelum ini, ASUS telah memberitahu Zenfone 6 akan dikuasakan pemproses terbaik masakini, Snapdragon 855. Ia masih mengekalkan jek audio 3.5mm bersama tiga slot kad yang boleh memuatkan dua kad sim nano dan kad mikroSD serentak. Terdapat juga satu butang baru yang dipanggil butang pintar, sebagai tambahan kepada butang kuasa dan kawalan bunyi.

BACA  Diskaun sehingga RM540 dalam parti ulangtahun ke-5 Honor

Zenfone 6 dikhabarkan akan datang dengan bateri mega 5,000mAh yang menyokong pengecasan pantas QuickCharge 4 melalui USB-C. Ia akan dilancarkan di Valencia, Sepanyol hari ini, 16 Mei 2019. Kita tunggu adakah maklumat dari Roland ini tepat atau tidak.

Sumber: @Rquandt, Sogi