Insuran perjalanan TuneProtect kini datang bersama data perayauan percuma ke lebih 150 negara

TuneProtect, nama insuran perjalanan yang tidak asing lagi apabila anda membuat tempahan tiket penerbangan AirAsia. Kini mereka mengumumkan kerjasama dengan Flexiroam, untuk memberikan perayauan data percuma ke luar negara.

Pelanggan AirAsia yang membeli insuran TuneProtect semasa tempahan tiket (tidak termasuk Value Pack & Premium Flex) atau membeli terus dari laman www.tuneprotect.com layak menerima perayauan data percuma ini. Tawaran eksklusif ini disediakan bermula dari 6 Mei 2019 sehingga 5 Mei 2020.

Pek permulaan Flexiroam X mengandungi 1GB data yang boleh digunakan selama 3 hari. Pek permulaan ini bernilai USD35 (~RM145) dan ia boleh digunakan di lebih 150 negara.

Untuk menebus pek permulaan Flexiroam, pengguna boleh mendapatkan kod promosi menerusi laman mikro Flexiroam X. Masukkan nombor polisi TuneProtect yang terdapat di sijil insuran, dan kod promosi akan diberikan.

Kemudian muat turun aplikasi Flexiroam di Apple Appstore atau Google Playstore. Apabila membuat tempahan pek permulaan Flexiroam, masukkan kod promosi yang diterima dari laman mikro Flexiroam X untuk menerimanya secara percuma.

Pek permulaan Flexiroam X datang dalam 3 pilihan: SIM, Mikrocip & eSIM. Mikrocip merupakan pelekat yang ditampal di atas kad SIM sedia ada pengguna. Ia disyorkan untuk pengguna yang tiada dwi slot kad sim, atau mahu menggunakan satu SIM sahaja.

Perlu diingatkan, pengguna perlu membayar kos penghantaran. Penghantaran biasa mengambil masa selama 5-7 hari berharga USD2.50 (~RM10.43).

Untuk maklumat lanjut, layari laman promosi 1GB data percuma Flexiroam X di TuneProtect.

BACA  Axiata dan Telenor mahu bergabung operasi di Asia