Bertempat di dewan Battersea Evolution, akhirnya siri honor 20 selamat dilancarkan di peringkat antarabangsa. London telah terpilih untuk menjadi saksi majlis pelancaran dua model telefon pintar dengan 4 kamera unik di belakang, Honor 20 dan Honor 20 Pro.
Siri Honor 20 adalah barisan peranti terbaru kelas flagship yang dihasilkan Honor. Ia menuruti jejak langkah Honor View 20 yang dilancarkan awal tahun ini, membawakan prestasi tertinggi dengan kamera serba baru dalam badan yang lebih kecil. Sesuai untuk mereka yang masih meminati peranti berkuasa tinggi dalam saiz yang tidak berapa besar.
Honor 20
Walaupun tiada perkataan Pro padanya, Honor 20 masih peranti berkuasa tinggi. Sebenarnya, tidak banyak perkara berbeza di Honor 20 berbanding versi Pro, kecuali pada bahagian kamera.
Prestasi tinggi pada honor 20 dibantu oleh pemproses Kirin 980 7nm berkuasa dwi-NPU yang digunakannya. Ia dipadankan bersama RAM sebanyak 6GB dan storan dalaman 128GB. Tiada kad mikroSD diterima bermakna storan tidak boleh diperluaskan.
Paparan dari jenis LCD berukuran 6.26-inci menghiasi rupa depan Honor 20. Ia memiliki resolusi HD Penuh+ dan menggunakan lubang untuk meletakkan kamera hadapan tanpa menggunakan takuk. Cara ini amat serupa dengan Honor View 20.
Bateri berkapasiti 3,750mAh dimuatkan di dalam Honor 20 dan ia datang bersama pengecas pantas Huawei SuperCharge 22.5W. Ia boleh mengecas dari 0-50% dalam masa 30 minit sahaja. Sistem operasi Magic UI 2.1 berasaskan Android 9 Pie pula menjadi penggerak utama Honor 20.
Satu perbezaan yang dibawakan oleh Honor 20 ialah pengimbas capjari. Ia tiada pengimbas capjari di dalam skrin mahupun di belakang, sebaliknya menggunakan pengimbas capjari di sisi yang disatukan bersama butang kuasa.
Sudah pasti 4 kamera belakang di Honor 20 menjadi subjek perbualan utama di majlis pelancarannya. Ia menggabungkan kuasa kamera utama 48MP F1.8 yang menggunakan sensor Sony IMX586, diikuti kamera ultra lebar 16MP F2.2 dengan sudut pandang seluas 117-darjah. Dua lagi kamera ialah kamera pengesan kedalaman 2MP F2.4 untuk membantu penghasilan bokeh dan juga kamera makro F2.4 yang mampu mengambil gambar dengna tajam dan jelas sedekat 4cm.
Kamera utama Honor 20 ini memiliki fungsi 4-dalam-1 Light Fusion, yang menggabungkan 4 piksel berhampiran kepada 1 untuk menghasilkan gambar lebih cerah. Ia juga dilengkapi penstabil imej AI (AIS)dan elektronik (EIS) serta mod Super Night Mode AIS, membolehkan gambar bersuasa rendah cahaya diambil dengan tangan biasa tanpa bergegar.
Untuk kamera hadapan, Honor 20 memasang kamera 32MP F2.0 di dalam lubang kecil 4.5mm di bahagian atas skrin.
Sebagai peranti flagship, Honor 20 masih di luar zon premium kerana ia tidak kalis air dan debu, tiada pembesar suara stereo, malah tidak dilengkapi slot kad mikroSD dan lubang jek audio 3.5mm.
Honor 20 Pro
Seperti yang diperkatakan di atas, Honor 20 Pro tidak banyak berbeza dengan Honor 20. Ia ada skrin yang sama, 6.26-inci berlubang dengan HD Penuh+. Pengimbas capjari juga di sisi, bersepadu dengan butang kuasa.
Tetapi Honor 20 Pro diberi lebih kuasa. Masih dengan cip pemproses yang sama, Kirin 980 7nm, ia diberikan RAM lebih besar 8GB dan storan sehingga 256GB.
Kapasiti bateri juga ditambah kepada 4,000mAh tetapi masih dengan pengecas yang sama, Huawei SuperCharge 22.5W menggunakan kabel USB-C.
Perbezaan utamanya ialah pada 4 kamera belakang. Ia masih menggunakan kamera utama 48MP dari sensor Sony IMX586, tetapi ia memiliki apertur terbesar di telefon pintar, F1.4 bersama saiz sensor 1/2″. Kamera ultra lebar juga sama, 16MP F2.2 dengan sudut pandang 117-darjah.
Tetapi ia tiada kamera pengesan kedalaman, sebaliknya kamera ketiga ialah kamera telefoto 8MP F2.4 yang mampu mengezum optikal 3x. Kamera ke-4 masih sama, kamera makro 2MP F2.4.
Kehebatan kamera ini ditambah lagi dengan penstabil imej optikal (OIS) 4-paksi di kamera utama dan telefoto. Ia juga dilengkapi autofokus laser yang lebih tepat dan pantas.
Selain datang dengan AIS dan mod Super Night AIS, Honor 20 Pro turut disertakan kuasa zum digital 30x dan mod HandHeld Moon, untuk mengambil gambar bulan tanpa tripod, cukup dengan tangan.
Kamera hadapan masih sama, 32MP F2.0 di dalam lubang kecil 4.5mm di bahagian atas skrin. Untuk semua ini, DxOMark memberi 111 markah untuk kamera Honor 20 Pro. Ini meletakkannya sebaris dengan OnePlus 7 Pro, serta satu mata di belakang Huawei P30 Pro dan Galaxy S10+ 5G.
Harga dan tarikh jualan
Honor 20 disediakan dalam dua warna yang digelar, Midnight Black, Sapphire Blue dan Icelandic White. Manakala Honor 20 Pro pula diberikan warna Phantom Black dan Phantom Blue.
Harga jualannya di United Kingdom diumumkan seperti berikut:
- Honor 20 (RAM 6GB + storan 128GB) – GBP 499 (~RM2,331)
- Honor 20 Pro (RAM 8GB + storan 256GB) – GBP 599 (~RM2,798)
Honor 20 akan dilancarkan di Malaysia pada 23 Mei manakala Honor 20 Pro pula akan tiba kemudian, belum ada tarikh dimaklumkan. Kami jangka harga di Malaysia kelak lebih murah kerana Eropah ada cukai yang tinggi.
Tempahan awal Honor 20 akan menerima hadiah bernilai RM500 secara percuma berupa beg Honor, speaker Bluetooth Honor SoundStone dan gelang pintar Honor Band 4. Walaupun diumumkan akan bermula dari 24-28 Mei, Honor Malaysia terpaksa menangguhkan tempahan awal ini atas maslah logistik.