fbpx

Banyak eBook boleh dipinjam percuma di Perpustakaan Negara Malaysia

Walaupun rakyat Malaysia dilihat kurang membaca, negara kita sebenarnya adalah antar pembeli buku terbanyak di dunia, menurut satu kajian baru-baru ini. Tahukah anda, sebenarnya anda boleh meminjam pelbagai tajuk buku digital (eBook) menerusi aplikasi Perpustakaan Negara Malaysia (PNM).

Baru-baru ini seorang rakyat Malaysia yang prihatin telah berkongsi pengalaman beliau berkunjung ke PNM. Jumie Mumie dimaklumkan tentang PNM memiliki koleksi eBook dan buku audio yang besar dan boleh dipinjam antara 7 ke 14 hari. Paling penting, ianya adalah percuma.

Koleksi eBook dan buku audio ini boleh diterokai menerusi laman web PNM atau aplikasi Libby.

Buat masa ini, sesiapun boleh mendaftar masuk menggunakan nombor kad perpustakaan yang telah sedia ada, dari pnm001 ke pnm999, atau eb001 ke eb999 dan tiada kata laluan diperlukan. Tetapi cara ini adalah tidak sihat kerana daftar masuk ini akan dikongsi bersama orang lain dan terdapat had pinjaman 10 buku untuk setiap kad.

Kami cuba untuk mendaftar tetapi ia menuju ke laman web yang masih belum siap. Seharusnya PNM mengambil langkah pantas untuk menyelesaikan masalah ini supaya setiap pengguna boleh memiliki daftar masuk sendiri dan mudah untuk menjejak proses pinjaman.

Menggunakan aplikasi Libby adalah cara terbaik. Ia membolehkan eBook dimuat turun untuk bacaan di luar talian terutama sekali ketika dalam perjalanan. Koleksi yang banyak di pustaka digital PNM ini merangkumi pelbagai tajuk dalam Bahasa Melayu serta tajuk yang dikhususkan untuk kanak-kanak.

Untuk yang lebih suka mendengar, terdapat 439 tajuk buku audio pada waktu tulisan ini terdapat dalam koleksi PNM. Ia termasuk pelbagai kategori fiksyen dan bukan fiksyen.

BACA  Unifi AIR jalan penyelesaian untuk pengguna Streamyx?

Sila ambil maklum, terdapat had salinan bagi setiap buku. Bagi tajuk yang popular seperti Billion Dollar Whale, ia hanya ada 2 salinan dan senarai menunggu adalah sebanyak 18 orang. Jika anda berminat, boleh memasukkannya dalam Place Hold agar anda boleh meminjamnya sejurus ia dipulangkan oleh peminjam sebelumnya.

Ini adalah satu inisiatif yang sangat bagus, selain mendigitalkan perpustakaan ia juga membolehkan orang ramai mendapatkannya terus di hujung jari bila-bila masa. Teruskan memupuk minat suka membaca kepada rakan dan keluarga anda.

Sumber: Facebook