fbpx

AMD Radeon akan perkasa grafik di dalam cip Samsung Exynos

AMD dan Samsung baru-baru ini mengumumkan kerjasama strategik mereka untuk menghasilkan kuasa grafik mudahalih bertenaga rendah, menggunakan teknologi IP dari AMD Radeon. Dalam kerjasama ini, Samsung akan menggunakan lesen dari IP grafik AMD ke dalam penyelesaian CIP SoC mudahalih mereka termasuk di telefon pintar.

Perkara ini dilihat memberi situasi menang-menang kepada kedua belah pihak. Samsung telah sekian lama menghasilkan cip SoC mereka sendiri menerusi jenama Exynos, bagaimanapun Samsung terpaksa menggunakan cip SoC Qualcomm Snapdragon di sesetengah negara untuk mengekalkan prestasi tertinggi dalam peranti.

CPU 8-teras Samsung Exynos 9820

Cip Exynos walaupun mampu memberikan prestasi pemprosesan tertinggi dengan penggunaan tenaga yang rendah, ia sering kali dilihat sedikit tertinggal di belakang cip SoC Snapdragon yang lebih berkuasa dari segi grafik. Penggunaan grafik Mali di Exynos masih tidak mampu menyaingi kehebatan grafik Adreno yang digunakan oleh Snapdragon.

Dengan menggunakan teknologi grafik AMD, ia mungkin boleh memberi saingan sengit kepada grafik Adreno di dalam Snapdragon. Di pihak AMD pula, ia bakal memberikan keuntungan dalam pembayaran lesen memandangkan Samsung banyak menghasilkan sendiri cip SoC mereka untuk digunakan dalam peranti keluaran Samsung. Malah, ia tidak terhad kepada telefon pintar sahaja, ia boleh dikembangkan ke produk elektronik lain seperti TV Pintar.

Kita mungkin tidak dapat melihat kerjasama ini dalam masa terdekat tetapi ia dijangka akan terhasil dalam 1 ke 2 tahun akan datang. Sudah pasti, Qualcomm mungkin akan tergugat dalam pengumuman ini tetapi ia juga boleh memberi kesan kepada pengeluar cip SoC lain seperti HiSilicon Kirin dan Mediatek.

Sebarang bentuk persaingan sudah pasti memberi keuntungan kepada pengguna. Diharapkan pengeluar cip lain akan terus kompetitif dalam menghasilkan cip yang lebih baik di masa depan.

BACA  Garismasa Android 10 untuk peranti Samsung di Malaysia telah keluar

Sumber: VentureBeat, AMD