Penjara setahun atau denda RM50,000 jika sebar kandungan jelik dan lucah, amaran dari SKMM

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah mengeluarkan amaran kepada mereka yang memuat naik atau menyebarkan kandungan yang jelik dan lucah di internet. Ia berikutan hebohnya berita tentang video berkaitan seorang ahli politik yang tular baru-baru ini.

Menurut SKMM, perkara tersebut tertakluk di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. Sesiapa yang didapati melanggar undang-undang ini boleh dikenakan penjara selama setahun, denda sebanyak RM50,000 atau kedua-duanya sekali.

Dalam pada itu, SKMM juga akan menyiasat kes-kes penyebaran kandungan berunsur jelik dan lucah serta akan menyekat mana-mana laman sesawang yang didapati menyebarkan kandungan berkaitan. SKMM juga bekerjasama dengan pihak pengendali platform seperti Facebook untuk memastikan kandungan tersebut tidak tular.

Kenyataan tersebut juga menyebut, SKMM akan terus mengambil langkah-langkah yang sewajarnya dalam memantau penyebaran kandungan-kandungan yang menyalahi peruntukan undang-undang negara. SKMM tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan yang tegas dan membawa mereka yang terlibat ke muka pengadilan.

Perkara ini bukannya bermusim, tetapi dilaksanakan sepanjang masa. Oleh itu beringat sebelum memuat naik atau menyebarkan kandungan yang jelik atau lucah. Memang mudah untuk berkongsi tetapi tidak berbaloi jika perlu membayar RM50,000 atau makan nasi di sebalik jeriji besi kerananya.

Sumber: SKMM

BACA  TM sudah ada CEO baru tapi bukan Imri, jelas PM