fbpx

Semua iPhone dan iPad boleh diceroboh dengan perkakas bernilai USD100

Telefon pintar terbaru Apple dikatakan akan memiliki tiga kamera dengan modul kamera seakan telefon pintar Huawei Mate 20. Ramai yang mengatakan ia rekaan yang buruk tetapi ia bukan masalah besar kerana ada perkara lain lebih penting dilaporkan hari ini.

Sebuah syarikat forensik dari Israel, Cellebrite mendakwa bahawa mereka boleh mengeluarkan seluruh fail sistem dari mana-mana peranti iOS. Perkhidmatan mereka ini terbuka kepada semua. Malah, ia juga boleh menjalankan perkara yang sama terhadap peranti Android flagship lain termasuk keluaran Samsung dan Xiaomi.

Cellebrite mengukuhkan dakwaan mereka ini dengan memberi contoh perkhidmatan mereka telah digunakan oleh FBI pada 2016, untuk mengeluarkan data dari telefon pintar iPhone 5C miliki Syed Rizwan Farook. Beliau merupakan penembak yang mengganas di San Bernardino pada tahun 2015.

Walaupun begitu hebat, teknologi menggodam Cellebrites masih memerlukan akses secara fizikal terhadap peranti tersebut. Ketua Pegawai Pemasaran mereka, Jeremy Nazarian menerangkan kepada Forbes bahawa, teknologi mereka bukanlah secara wayarles. Ia memerlukan akses fizikal dan tidak boleh mengintip iPhone sesiapa sahaja. Tiada ruang untuk teknologi ini disalah guna.

Forbes sebelum ini pernah melaporkan bahawa perkakas menggodam Cellebrite UFED, boleh dibeli di dalam talian antara USD100 ke USD1,000 seunit. Unit baru perkakas ini dijual pada harga USD6,000.

Perkara ini dengan jelas menunjukkan pihak berkuasa Amerika Syarikat telah lama menggunakan perkakas ini dalam tugasan mereka, menggodam telefon pintar untuk mendapatkan semua maklumat di dalamnya. Tidak mustahil ia juga digunakan oleh mana-mana kerajaan dan pihak berkuasa lain di seluruh dunia.

Apple selama ini sering mendabik dada bahawa peranti keluaran mereka adalah yang paling selamat digunakan. Perkakas Cellebrite ini dikatakan boleh digunakan di peranti iOS dengan kemaskini terbaru iOS 12.3.2. Kemaskini iOS 13 dimaklumkan terhad kepada beberapa peranti iOS terbaru dan ini membuka satu lagi jalan kepada mereka yang tidak bertanggungjawab untuk mendapatkan maklumat secara tidak sah.

BACA  Lebih 700 aplikasi di Appstore mohon dibuang oleh kerajaan sedunia

Untuk mengekalkan reputasi mereka sebagai pengeluar peranti paling selamat, Apple harus segera mencari jalan untuk memastikan perkara ini tidak boleh lagi menggugat iPhone dan iPad keluaran mereka. Termasuk model yang lama.

Sumber: Forbes, AppleInsider