fbpx

Penjual di Malaysia akan pulangkan wang jika Google dan Facebook tidak berfungsi lagi di telefon Huawei

Minggu lepas, kita menerima perkhabaran bahawa penjual telefon pintar Huawei di Filipina mengambil langkah aktif dengan menjamin 100% wang dipulangkan jika peranti Huawei yang dibeli tidak boleh menggunakan servis Google. Hari ini, terdapat penjual di Malaysia dilihat menuruti jejak langkah tersebut.

DirectD, salah satu penjual peranti popular di Lembah Klang memuat naik status di Facebook yang menyatakan, mereka akan memulangkan wang 100% jika Google PlayStore, Google Maps, Gmail, YouTube, Facebook, Instagram, dan Whatsapp tidak boleh digunakan di peranti Huawei yang dibeli di DirectD, dalam tempoh jaminan.

Dalam muat naik tersebut, ia turut menyatakan jaminan ini tertakluk kepada terma dan syarat. Bagaimanapun, ia tidak dijelaskan dan kami sudah menghubungi DirectD untuk mendapatkan jawapannya. Kami akan mengemaskini dengan kenyataan dari DirectD apabila menerimanya.

Muat naik tersebut juga menyertakan pautan ke www.directd.com.my/HUAWEI dan pautan tersebut turut menyenaraikan produk Honor di dalamnya.

Dari kenyataan ini, dapat dilihat kempen ini melibatkan akses ke aplikasi android dan perkhidmatan di dalam Google Playstore. Ia tidak pula menerangkan tentang kemaskini keselamatan dan sistem operasi. Bagaimanapun, ia satu langkah yang harus dipuji kerana ia boleh meningkatkan keyakinan pembeli.

Android sendiri mengesahkan bahawa peranti Huawei sedia ada, tidak tertakluk kepada sekatan Amerika Syarikat, yang kini ditangguhkan selama 90-hari. Mana-mana peranti Huawei yang dilancarkan sebelum sekatan ini, boleh terus menggunakan perkhidmatan Google seperti biasa.

Semoga lebih banyak penjual mengambil langkah seperti DirectD. Lebih mudah lagi, jika Huawei menjadikannya standard untuk jualan produk mereka di Malaysia, untuk masa terdekat ini.

BACA  Huawei masih dalam senarai entiti tetapi sudah boleh berniaga di Amerika Syarikat

Sumber: DirectD