fbpx

Touch n Go eWallet kini menjamin wang dipulangkan jika berlaku transaksi tak sah

Dompet elektronik atau eWallet bercambah di Malaysia bak cendawan lepas hujan. Walaupun terdapat terlalu banyak eWallet di Malaysia, pengguna masih ragu-ragu dan khuatir untuk menggunakannya.

Kajian Nielsen Malaysia mendapati, rakyat Malaysia masih memilih untuk membayar secara tunai bagi kebanyakan perbelanjaan harian seperti membeli barangan runcit atau makan di luar. Ramai rakyat Malaysia takut menggunakan eWallet kerana isu keselamatan membabitkan pembayaran dan maklumat perbankan, kebocoran data, serta ‘malware’ atau isu membabitkan perisian.

Perkara ini diterangkan oleh Arslan Ashraf, Pengarah Urusan Pengurusan Pelanggan – Zon Timur, The Nielsen Company dalam Forum “Cashless Confidential: eWallet vs Cash: Which is More Secure?” anjuran TNG Digital Sdn Bhd bersama Nielsen Malaysia.

Arslan Ashraf (kanan sekali) bersama Syahrunizam (dua dari kiri) dalam Forum “Cashless Confidential: eWallet vs Cash: Which is More Secure?”

Bagi menyakinkan pengguna untuk menggunakan eWallet, Touch n Go eWallet mengumumkan Polisi Money-back Guarantee, polisi perlindungan dan keselamatan yang pertama seumpamanya untuk pembayaran mudah alih di Malaysia. Pengumuman ini dibuat oleh Ketua Pegawai Eksekutif TNG Digital Sdn Bhd, Syahrunizam Samsudin dalam forum yang sama.

Menerusi polisi ini, pengguna Touch n Go eWallet boleh melaporkan sebarang transaksi tidak sah dan menuntut pulangan wang dengan mendaftar masuk ke dalam aplikasi eWallet atau dengan melayari laman sesawang: tngd.my/mbg.

Sebelum boleh membuat tuntutan, pengguna perlu mengesahkan akaun eWallet mereka menerusi proses Pengesahan Akaun (proses eKYC). Ia memerlukan pengguna memuat naik gambar kad pengenalan atau passport, bersama swafoto muka pengguna. Setelah akaun itu disahkan, perlindungan Money-back Guarantee akan diaktifkan di mana satu ikon perisai perlindungan eWallet akan dipaparkan pada butang sunting (edit) profil pengguna.

Jika pengguna mendapati bahawa mereka telah dikenakan caj dengan transaksi tidak sah dalam akaun eWallet, mereka boleh klik pada ciri Money-back Guarantee dalam aplikasi. Ciri berkenaan akan memaparkan satu borang di mana pengguna perlu mengisi butiran kes mereka dan menyertakan bukti resit atau dokumentasi yang berkaitan dengan transaksi tersebut. Pasukan eWallet kemudiannya akan menyiasat dan jika tuntutan berkenaan terbukti sah, pengembalian wang akan diproses dan pembayaran balik akan dibuat dalam tempoh 5 hari bekerja.

BACA  Hotlink bagi telefon pintar percuma setiap hari sepanjang bulan Julai

Pengguna Touch n Go eWallet boleh mendapatkan maklumat lanjut mengenai polisi Money-back Guarantee menerusi laman sesawang tngd.my/mbg.