fbpx

Pereka terhebat Apple, Jony Ive ucap selamat tinggal dan menubuhkan LoveFrom

Selepas Steve Jobs, nama yang paling berpengaruh di Apple ialah Jony Ive. Beliau menyertai Apple pada tahun 1996 sebagai Ketua Studio Rekaan Apple, dan menjadi tulang belakang rekaan luar biasa iMac yang dilancarkan pada tahun 1998.

Apple iMac dilancar pada tahun 1998

Hari ini, Jony Ive atau nama penuhnya Sir Jonathan Ive mengumumkan meletakkan jawatan sebagai Ketua Pegawai Rekaan Apple, berkuatkuasa hari ini. Beliau akan membuka firma rekaan sendiri, LoveFrom bersama rakan beliau, Marc Newson dan Apple akan menjadi pelanggan pertamanya.

Saham Apple dilaporkan jatuh 1% selepas pengumuman tersebut.

Selain iMac, Jonv Ive menerajui rekaan iPod Mini, iPhone, MacBook Air, iPad, Apple Watch dan AirPods. Dalam hampir semua video pengenalan produk, Jony akan muncul menerangkan tentang rekaan produk tersebut sehingga beliau sering dijadikan meme di internet.

Dari kiri: iPod, iPhone dan Apple Watch

Sejak tahun 2012, Jony Ive memantau rekaan untuk peranti dan perisian di Apple, di mana sebelum itu ia adalah jawatan yang berbeza. Dengan pemergiannya, jawatan ini akan dipecahkan semula dengan Evans Hankey mengambil tempat sebagai Naib Presiden Rekaan Industri, manakala Alan Dye mengambil jawatan Naib Presiden Rekaan Antaramuka Manusia.

Naib Presiden Kanan Operasi, Sabih Khan

Di samping itu, Apple turut mengumumkan lantikan Naib Presiden Kanan Operasi yang baru, Sabih Khan. Beliau telah menyertai Apple sejak tahun 1995 dan akan melapor terus kepada Ketua Pegawai Operasi, Jeff Williams.

Khan akan bertanggungjawab terhadap rangkaian pembekalan Apple antarabangsa, memastikan kualiti produk serta memantau perancangan, perolehan, pembuatan, logistik dan fungsi pemenuhan produk, serta program tanggungjawab pembekal Apple yang melindungi dan mendidik pekerja di kemudahan pengeluaran di seluruh dunia.

Sumber: BBC, Apple

BACA  iPhone 11 Miliki Bateri Antara Yang Terkecil Dalam Kelas Flagship