Peminat Nokia di Malaysia kini boleh mendapatkan telefon pintar terbaru Nokia dengan harga mampu milik, Nokia 2.2 yang dijual pada harga hanya RM399. Seperti semua peranti Nokia lain, Nokia 2.2 merupakan ahli program Android One yang menjanjikan kemaskini keselamatan sehingga 3 tahun.
Sebagai peranti baru, Nokia 2.2 menjalankan sistem operasi terbaru Android 9.0 Pie dan ia akan sedia menerima OS Android akan datang, Android Q.
HMD Global memasarkan Nokia 2.2 sebagai peranti yang memiliki kehebatan tangkapan malap cahaya yang boleh menangkap gambar dengan cerah. Ia turut memiliki mod HDR dan turut ditambah kuasa pemproses Google Photo untuk menjadikan gambar lebih menarik menerusi fungsi Colour Pop, Colourise dan Beautify.
Nokia 2.2 dilengkapi kamera belakang 13MP F2.2 manakala kamera hadapannya 5MP. Ia tidak memiliki pengimbas capjari fizikal tetapi menyokong pengecaman wajah melalui kamera hadapan.
Pemproses Mediatek Helio A22 menjadi kuasa penggerak Nokia 2.2 bersama RAM 2GB dan storan dalaman 16GB. Ia juga sedia menerima kad mikroSD sehingga 400GB untuk storan tambahan.
Skrin Nokia 2.2 berukuran 5.71-inci dengan resolusi HD+. Ia memiliki takuk kecil di atas untuk memuatkan kamera hadapan, dan bingkai dagu yang agak luas dengan logo Nokia tertera padanya.
Selain butang kuasa dan butang kawalan bunyi di sebelah kanan, Nokia 2.2 turut memiliki butang khas untuk Google Assistant. Pengguna boleh menekan butang ini dan memberi arahan atau bertanya soalan dan ia akan diuruskan oleh Google Assistant.
Dengan saiz badan kecil, Nokia 2.2 memiliki bateri 3,000mAh sahaja. Ia mengecas melalui port mikroUSB dan datang bersama pengecas 5W.
Nokia 2.2 dijual di Malaysia dalam dua warna, hitam dan kelabu. Ia boleh dibeli bermula dari 28 Jun 2019 dari pengedar sah Nokia di seluruh Malaysia.
Sumber: Vernonchan