fbpx

Lebih 700 aplikasi di Appstore mohon dibuang oleh kerajaan sedunia

Apple menjanjikan ketelusan dalam laporan mereka mengenai kerjasama dengan pihak berkuasa dan kerajaan di seluruh dunia. Mereka baru memuat naik laporan ketelusan terbaru, untuk separuh kedua tahun 2018. Dari 1 Julai sehingga 31 Disember 2018.

Laporan terbaru ini dibuat dengan lebih teliti, memecahkannnya kepada beberapa kategori dan menyenaraikannya mengikut benua dan negara. Dapat dilihat, Malaysia juga tersenarai dalam laporan ketelusan terbaru ini.

Dalam laporan tersebut, Apple menyatakan sebanyak 770 permohonan membuang aplikasi dari AppStore diterima, di mana 626 permohonan datang dari kerajaan China. Majoriti permohonan membuang aplikasi dilakukan kerana melanggar undang-undang anti perjudian dan pornografi di China.

Arab Saudi hanya menghantar satu permohonan tetapi meminta 25 aplikasi untuk dibuang, kerana melanggar undang-undang privasi di sana. Secara keseluruhan, Apple telah bersetuju dengan 75 dari 80 permohonan dan mengeluarkan 634 aplikasi dari App Store, dari Julai sehingga Disember 2018.

Tiada permohonan dari kerajaan Malaysia pada separuh pertama tahun 2018, tetapi Malaysia telah membuat beberapa permohonan kepada Apple untuk separuh tahun kedua. Ia berkaitan permohonan mendapatkan data pengguna melalui peranti Apple.

Malaysia telah membuat 2 permohonan untuk mendapatkan data dari 4 peranti Apple. Menurut Apple, permohonan begini dibuat kerana penguatkuasa bertugas bagi pihak pelanggan untuk bantuan berkenaan peranti yang hilang, atau permohonan berkaitan siasatan penipuan. Biasanya ia hanya bertujuan mencari pemilik peranti atau hubungan peranti dengan servis Apple.

Laporan terbaru Apple ini terbahagi kepada beberapa kategori iaitu:

  1. Permohonan maklumat peranti
  2. Permohonan maklumat kewangan
  3. Permohonan akaun Apple
  4. Permohonan pengekalan maklumat pengguna
  5. Permohonan menyekat/membuang maklumat pengguna
  6. Permohonan maklumat kecemasan kerajaan
  7. Permohonan membuang aplikasi dari Appstore

dan beberapa permohonan yang berkaitan undang-undang khas di Amerika Syarikat.

BACA  Alibaba perkenal cip AI Hanguang 800, kuasa pengkomputeran termaju

TechCrunch melaporkan, Apple berjanji untuk menyediakan laporan yang lebih menyeluruh di masa depan. Laporan seterusnya dijadualkan pada pertengahan tahun 2020 dikhabarkan akan memuatkan maklumbalas kerajaan berkenaan permohonan membuang aplikasi dari Appstore tempatan.

Laporan penuh ini boleh didapati di sini.

Sumber: engadget