fbpx

Honor 9X akan dilancarkan hujung bulan ini

Telefon pintar Honor siri X merupakan salah satu siri yang paling mendapat sambutan ramai. Honor 8X contohnya, telah mencapai jualan 10 juta unit paling cepat dalam sejarah Honor. Di Malaysia sendiri, Honor 8X menjadi telefon pertama dilancar di Malaysia dengan storan 128GB berharga di bawah RM1,000.

Baru-baru in, CEO Honor, George Zhao telah mengumumkan menerusi weibo, di mana pelancaran model terbaru mereka, Honor 9X akan diadakan di China pada 23 Julai 2019, di bandaraya Xian.

George Zhao semasa pelancaran Honor View 20

Beliau berkongsi poster pelancaran Honor 9X, dengan tema “Honor 9X is fast from the inside. Born to be low-key”, membawa maksud ia akan kekal dalam kelas pertengahan tetapi dipasang dengan perkakas berkuasa tinggi. Bagaimanapun, tiada diberitahu mengenai spesifikasi yang akan dibawa bersamanya.

Ada spekulasi mengatakan akan terdapat dua versi diperkenalkan kelak, dengan versi lebih hebat membawa nama Honor 9X Pro. Ia mungkin memiliki empat kamera belakang seperti di Nova 5, tetapi sejarah menunjukkan siri X sentiasa membawa rekaan yang baru dan segar.

Satu laporan di internet mengatakan, Honor 9X akan dikuasakan pemproses Kirin 810. Menurut AnTuTu, prestasi Kirin 810 dilihat lebih baik dari Snapdragon 730. Selain itu, Honor 9X akan memiliki skrin LCD dengan saiz sekitar 6.5-6.7-inci, 3 kamera belakang gabungan kamera utama 24MP, kamera ultra lebar 8MP dan kamera pengesan kedalaman 2MP. Kamera hadapanya pula 20MP. Baterinya sebesar 3,750mAh tanpa pengecasan pantas.

BACA  Galaxy Fold Yang Sedia Mahal Akan Lebih Mahal Bila Dilancarkan September Nanti?

Bagi Honor 9X Pro, dikhabarkan akan memiliki 4 kamera belakang seperti Honor 20 iaitu kamera utama 48MP Sony IMX582, kamera ultra lebar 8MP, kamera pengesan kedalaman 2MP dan kamera makro 2MP. Kamera hadapannya 25MP dalam lubang di skrin. Baterinya sebesar 4,000mAh dan menyokong pengecasan pantas 20W.

Adakah Honor 9X kelak akan diperkenalkan di Malaysia dengan mengekalkan harga di bawah RM1,000? Diharap ia boleh membawa kejutan yang sama seperti siri-X sebelum ini.

Sumber: weibo, GSMArena