fbpx

iOS 13 Beta 3 ditemui benarkan penyalinan data sesama iPhone menggunakan kabel

Apple baru sahaja melepaskan Beta 3 untuk iOS 13. Ia membawakan beberapa penambahbaikan dari versi Beta sebelum ini, seperti peningkatan prestasi dan pengenalan fungsi baru. Satu perkara yang ditemui berbeza di Beta 3 berbanding Beta 2 ialah, penghantaran data antara peranti menggunakan kabel.

Selepas membeli iPhone baru, atau menghidupkan iPhone untuk digunakan kali pertama, ia akan bertanya sama ada mahu membuat salinan dari iPhone lama atau tidak. Buat masa ini, pengguna boleh memilih untuk mendapatkan salinan dari iTunes atau iCloud. Pilihan lain, meletakkan iPhone lama berhampiran iPhone baru, dan membuat salinan secara wayarles.

Dalam satu kod yang ditemui dalam iOS 13 Beta 3, ia memberi pilihan untuk menyalin data dari iPhone lain menggunakan kabel. Dalam satu gambar yang ditemui, ia menunjukkan gambar dua iPhone dihubungkan menggunakan kabel.

Bagaimanapun, tiada penjelasan diberikan bagaimana ia beroperasi. Ini kerana, iPhone hanya ada port Lightning dan tiada kabel Lightning ke Lightning terdapat di pasaran buat masa ini.

Laman 9to5mac melaporkan, mereka telah cuba memasang iOS 13 beta 3 di peranti mereka, mereset iPhone tersebut dan cuba melihat sama ada pilihan tersebut muncul. Tetapi ia tidak kelihatan. Ia mungkin belum bersedia untuk digunakan dalam Beta 3 dan akan muncul dalam Beta seterusnya, atau di peringkat stabil, atau tiada langsung.

Mungkin ini satu inovasi yang akan diperkenalkan Apple untuk iPhone dalam iOS 13 kelak. Penghantaran data melalui kabel telah sekian lama terbukti lebih pantas dan stabil berbanding menggunakan WiFi, kan? Tetapi berapa pula harga untuk kabel baru Lightning ke Lightning kelak?

Sumber: 9to5Mac

BACA  Maxis meluaskan capaian jalur lebar tetap di Sabah bersama Celcom Timur