fbpx

Nintendo perkenal Switch Lite, lebih murah dan jimat tenaga

Nintendo Switch adalah satu konsol permainan yang merevolusikan cara permainan mudahalih. Kini, model yang lebih ringan dan mampu milik baru diperkenalkan dan ia diberi nama Nintendo Switch Lite.

Harga jualan Switch Lite di Amerika Syarikat (AS) adalah USD100 lebih murah dari Switch, iaitu USD199 (~RM824) sahaja. Tetapi dengan pengurangan harga maka beberapa fungsi juga terpaksa dikurangkan.

Switch Lite direka sebagai konsol permainan mudahalih, seperti GameBoy. Maka ia tidak boleh disambungkan ke TV. Alat kawalan Joy-Con juga terbina di dalam, tidak boleh dicabut dan diasingkan. Tetapi, pengguna boleh menghubungkan Joy-Con wayarles untuk digunakan di Switch Lite.

Walaupun berbeza, Switch Lite masih boleh dimainkan bersama dengan Switch dalam mod berbilang pemain. Jadi pengguna baru Switch Lite boleh menyertai pemain Switch seperti biasa.

Kuasa Switch Lite digerakkan oleh pemproses Nvidia Tegra yang direka khas, bersama storan dalaman 32GB. Kad mikroSD sedia diterima untuk meluaskan storan. Terdapat satu slot Game Card khas eksklusif untuk kad permainan Nintendo Switch.

Konsol ini memiliki skrin LCD berukuran 5.5-inci dengan resolusi HD, sedikit kecil dari Switch dengan skrin 6.2-inci. Bateri 3,570mAh dipasang di dalamnya dan ia dicas melalui sambungan USB-C. Mengecas penuh mengambil masa sekitar 3 jam dan masa penggunaan berterusan melebihi 6 jam.

Nintendo memperkenalkan tiga warna untuk Switch Lite iaitu Kuning, Kelabu dan Turqoise.

Switch Lite akan dilancarkan pada 20 September, hari yang sama dengan pelancaran tajuk permainan The Legend of Zelda: Link’s Awakening. Versi Pokemon akan turut diperkenalkan dan mula dijual pada 8 November.

Versi Pokemon Sword & Shield

Adakah anda akan mendapatkan Switch Lite berbanding Switch yang biasa? Untuk maklumat lanjut, boleh layari laman rasmi Nintendo Switch Lite.

BACA  Nintendo Switch Yang Lebih Berkuasa Sedang Diuji?

Sumber: The Verge