fbpx

Rupa rasmi Galaxy Note 10 dan Note 10+ mula tersebar

Pelancaran Samsung Galaxy Note 10 telah diumumkan akan berlangsung pada 7 Ogos 2019, di New York, Amerika Syarikat. Menariknya, gambar rasmi untuk dicetak telah diterima oleh dua pembocor berita bersiri, Roland Quandt dan Ishan Agarwal.

Mereka berdua telah berkongsi gambar untuk Galaxy Note 10 dan Galaxy Note 10+. Kedua-dua gambar ini juga telah disahkan oleh seorang lagi pembocor berita, Ice Universe. Terasa seperti berita rasmi telah dikeluarkan kerana ramai telah menerima maklumat yang sama.

Dari gambaran yang mereka kongsikan, ia menepati maklumat yang telah kita dapati sebelum ini. Antaranya ialah susunan kamera belakang yang menegak, seperti di Huawei P30.

Galaxy Note 10 Silver
Galaxy Note 10 Black

Terdapat dua warna yang dikongsikan, iaitu Black dan Silver. Sementara warna hitam nampak agak biasa, warna Silver sebenarnya ialah warna gradien yang berubah antara putih, ungu, biru dan hijau. Malah, S-Pen yang datang dengan warna Silver ini berwarna biru. Satu gabungan warna yang sangat menarik.

Di hadapan, skrin yang besar hampir tiada bingkai dapat dilihat. Satu lubang terdapat di atas skrin di tengah, memuatkan kamera hadapan. Pengimbas capjari tidak kelihatan di belakang, menandakan ia akan menggunakan pengimbas capjari di dalam skrin.

Di sebelah kiri, dapat dilihat butang kuasa di tengah dan butang kawalan bunyi di atas. Tiada lagi butang di sebelah kanan menandakan butang khas Bixby dibuang padanya.

Di belakang, untuk Galaxy Note 10 terdapat tiga kamera belakang disusun menegak dan LED Flash di sisinya. Untuk Galaxy Note 10+, selain tiga kamera menegak, di sisinya terdapat LED Flash, kamera ke-4 ToF 3D dan satu lagi bulatan yang tidak dipastikan.

BACA  Pencipta video kanak-kanak dan permainan video akan rugi dengan peraturan baru YouTube

Bahagian atas dan bawah telefon tidak dapat dilihat dengan jelas, jadi ketiadaan jek audio 3.5mm masih tidak disahkan.

Galaxy Note 10 akan datang dengan skrin Dynamic AMOLED berukuran 6.3-inci, manakala Galaxy Note 10+ pula dengan skrin sebesar 6.75-inci. Pasti kamera yang lebih hebat dan beberapa fungsi baru akan ditampilkan bersama siri Galaxy Note 10 kelak.

Sumber: Roland Quandt, Ishan Agarwal