fbpx

Celcom mula Ujian Kluster 5G secara langsung pertama di Malaysia

Celcom hari ini mengumumkan Ujian Kluster 5G di ibupejabat mereka di Petaling Jaya. Ujian ini akan meliputi kawasan seluas 1.22 km/segi di Petaling Jaya. Ujian secara langsung ini dilakukan untuk memantau dan melihat penggunaan serta capaian liptan 5G dalam persekitaran sebenar.

Ujian Kluster 5G Celcom ini akan dijalankan selama 6 bulan, meliputi kawasan di Petaling Jaya seperti Seksyen 14, Hotel Crystal Crown, Menara MBPJ dan stesen LRT Taman Jaya. Ia turut meliputi sekitar 450 buah rumah, 130 lot kedai, pusat membeli-belah dan kawasan terbuka, dengan jangkaan populasi melebihi 4,600 orang.

Di Menara Celcom, mereka akan memasang rangkaian MIMO 64T64R 3.5Ghz menerusi jalur 100Mhz untuk liputan dalam bangunan. Celcom juga akan memasang lima unit rangkaian 4T4R 28GHz di luar menerusi jalur 800MHz. Rangkaian ini akan bersambung ke kabel fiber berkelajuan tinggi serta gelombang mikro E-Band 10Gbps.

Dalam acara tersebut, Celcom memperlihatkan ujian kelajuan Speedtest mencecah 6Gbps di laptop. Di peranti mudah alih 5G pula, melalui rangkaian C-Band ia berjaya mencatat kelajuan melebihi 1.2Gbps di ujian Speedtest Ookla.

Ujian Kluster 5G Celcom ini dijayakan dengan kerjasama rakan teknologi, Huawei di mana perjanjian kerjasama ini telah ditandatangani pada April lepas, salah satu darinya untuk membangunkan Hub Inovasi 5G Celcom.

Dalam tempoh 6 bulan akan datang, Celcom akan mengadakan ujian 5G bersama pengguna dan perniagaan di kawasan liputan. Celcom turut menyatakan, mereka akan menyediakan lori pemancar 5G bagi membantu melancarkan lagi ujian ini.

BACA  ROG Phone 2 boleh ditempah sekarang dengan harga lebih murah dari generasi pertama