Walaupun AirAsia terkenal sebagai penerbangan tambang murah, satu perkara yang mahal pada tiket mereka ialah caj pemprosesan. Pelanggan dikenakan caj sehala dari RM4 untuk pembayaran melalui perbankan internet, RM6 untuk kad debit dan RM8 bagi kad kredit.
Perkara ini agak pelik kerana penerbangan lain tidak mengenakan caj pemprosesan. Malah perkara ini bertentangan dengan polisi Bank Negara Malaysia yang tidak membenarkan caj kad dikenakan kepada pengguna.
Tetapi hari ini, pengasas AirAsia, Tony Fernandes mengumumkan, AirAsia akan berhenti mengenakan caj pemprosesan kepada pengguna bermula bulan Oktober.
Tambah beliau, AirAsia masih akan mengenakan sedikit caj untuk memastikan keselamatan pembayaran, tetapi akan ada cara diperkenalkan tanpa caj kepada pengguna.
Buat masa ini, pengguna AirAsia tidak dikenakan caj jika membuat bayaran menggunakan kad Bigpay, salah satu produk berkaitan AirAsia. Adakah penggunaan BigPay dikekalkan sebagai cara pembayaran tanpa caj pemprosesan? Macam tak ada yang berubah.
Kita nantikan pengumuman lanjut dari AirAsia berkenaan penghapusan caj pemprosesan ini.
Sumber: Malay Mail