fbpx

Kuasa kamera Galaxy Note 10 jauh ketinggalan berbanding Mate 30 Pro

Kerjasama Huawei dan Leica dalam menghasilkan kamera kompak di telefon pintar sememangnya sesuatu yang sangat berjaya. Boleh dilihat dari penilaian DxOMark juga, bagaimana telefon pintar flagship Huawei dari siri P dan Mate, mudah mengatasi telefon pintar flagship dari Samsung siri S dan Note.

Terbaru, pembocor berita Ice Universe menyatakan, kamera di Huawei Mate 30 Pro akan datang, jauh mengatasi Galaxy Note 10 kerana ia menggunakan saiz sensor kamera yang besar. Bukan satu, tetapi dua sensor 40MP.

Untuk memberi kefahaman dengan lebih mudah, Ice Universe berkongsi gambar yang menunjukkan perbezaan saiz sensor kamera antara Mate 30 Pro dan Galaxy Note 10. Sementara Galaxy Note 10 menggunakan sensor bersaiz 1/2.55-inci, Mate 30 Pro akan menggunakan sensor pertama bersaiz 1/1.7-inci dan sensor kedua 1/1.55-inci.

Saiz sensor yang lebih besar membolehkan lebih banyak cahaya masuk, sekaligus menjadikan gambar lebih cerah.

Bukan itu sahaja, Samsung masih kekal menggunakan resolusi 12MP berbanding Huawei yang menggunakan resolusi 40MP di kamera utama dan kamera kedua.

Tambah Ice Universe lagi, Galaxy Note 10 masih menggunakan sensor yang sama digunakan di Galaxy S7 edge, yang dilancarkan pada awal tahun 2016. Dalam hal ini, Samsung hanya menaik taraf pemproses imejnya sahaja.

Selain kamera, mungkin Galaxy Note 10 masih ada harapan untuk bersaing dengan Mate 30 Pro. Galaxy Note 10 dikatakan akan datang dengan pemproses terbaru Samsung, Exynos 9825 serta di sesetengah pasaran terutamanya di Amerika, ia menggunakan pemproses Qualcomm Snapdragon 855.

Kelebihan utama siri Note sudah pastinya S Pen. Tetapi di Galaxy Note 10 kali ini, Samsung buat pertama kalinya membuang jek audio 3.5mm di barisan telefon pintar flagshipnya.

BACA  Samsung Umum Exynos 9825 Untuk Perkasakan Note 10

Apakah masih ada harapan lain untuk Galaxy Note 10 memiliki kelebihan berbanding Mate 30 Pro? Kita harapkan ada lagi kejutan lain semasa pelancaran Galaxy Note 10 nanti. Walaupun mengikut kebiasaannya, semua perkara tentang telefon pintar Samsung telah pun dibocorkan sebelum pelancarannya.

Sumber: Forbes, Ice Universe