fbpx

Kedudukan pertama kamera terbaik DxOMark ada penyandang terbaru

Untuk beberapa ketika, telefon pintar Huawei yang menggunakan kamera yang dihasilkan dengan kerjasama Leica, telah menduduki tangga teratas kamera terbaik telefon pintar DxOMark. Dengan pelancaran Galaxy Note 10+, nampaknya Samsung berjaya merampas kedudukan pertama apabila memungut 113 mata dalam ujian DxOMark.

Peranti Samsung yang diuji oleh DxOMark ini ialah Galaxy Note 10+ 5G. Menurut spesifikasi, telefon ini memiliki kamera yang sama dengan Galaxy Note 10+ yang dijual di Malaysia, tanpa sokongan 5G. Ia gandingan kamera utama 12MP F1.5-F2.4, kamera ultra lebar 16MP F2.2, kamera telefoto 12MP F2.1 dan kamera 3D ToF. Kamera utama dan telefoto dilengkapi penstabil imej optikal (OIS).

Markah 113 dipungut hasil gabungan 118 markah di bahagian foto dan 101 markah di bahagian video. Markah foto ini sebenarnya 1 mata di bawah Huawei P30 Pro. Menurut DxOMark, Note 10+ 5G memiliki autofokus yang pantas dan tepat, walaupun di dalam atau luar bangunan. Walaupun kameranya sama dengan Galaxy S10 5G, Note10+ 5G memiliki pemproses imej yang lebih baik untuk menghasilkan gambar yang lebih menarik.

Untuk video, telefon ini menghasilkan ketelitian yang baik untuk rakaman di dalam dan luar bangunan, serta autofokus yang patas dan penstabil yang efektif. Tetapi mereka menemui corak warna merah jambu, hingar yang kasar dan kehilangan tekstur dalam keadaan cahaya malap.

Bagi kamera hadapan, Note 10+ 5G diberi 99 mata, lebih baik dari S10 5G yang menerima 97 mata. Kamera 10MP yang terletak di lubang di tengah skrin ini mendapat 103 markah di bahagian foto dan 93 markah di bahagian video. Kamera ini merakam video 4K secara lalai.

BACA  Kamera iPhone 11 Pro Max di bawah taraf Xiaomi CC9 Pro dalam ujian DxOMark

Laporan penuh ujian oleh DxOMark berkenaan kamera Galaxy Note 10+ 5G ini boleh dibaca di sini. Di bawah ini ialah kedudukan terkini pungutan markah DxOMark Mobile.

Sumber: DxOMark