fbpx

Mi 9S mahu atasi kelemahan dan pertingkat prestasi Mi 9

Apabila Redmi K20 Pro diperkenalkan, ramai yang membandingkannya dengan Mi 9 dan mengatakan terdapat kekurangan pada Mi 9, meskipun harganya lebih mahal dari Redmi K20 Pro. Kini datang ura-ura tentang Mi 9 yang dinaik taraf dengan prestasi lebih tinggi serta sokongan 5G.

Sebuah peranti baru Xiaomi telah dikesan di TENAA di China dan ia memberi beberapa petunjuk yang menarik. Ia dinamakan sebagai Xiaomi Mi 9S dan dikatakan akan diperkenalkan sebagai peranti 5G untuk syarikat telekomunikasi, China Unicom.

Dari segi luaran, ia sangat serupa dengan Mi 9 seperti penggunaan skrin AMOLED dan saiz skrin masih sama, 6.39-inci HD Penuh+. Peningkatan padanya boleh dilihat pada kapasiti bateri, ditingkatkan ke 4,000mAh iaitu 21% lebih dari Mi 9. Mi 9S juga lebih tebal dan berat, setebal 8.95mm dan 196gram.

Satu lagi kejutan pada Mi 9S ialah kelajuan pemprosesnya iaitu 2.96Ghz, memberi petanda bahawa ia menggunakan Snapdragon 855+. Ini kerana Snapdragon 855 memiliki kelajuan 2.84GHz sahaja. Menurut Qualcomm, pemproses ini memberi 15% lebih prestasi grafik dan prestasi CPU lebih baik dari Snapdragon 855 yang asal.

Mi 9S di TENAA ini turut disenaraikan dengan RAM sehingga 12GB serta storan sehingga 512GB. Setakat ini ia masih tidak dikhabarkan pelancarannya, berkemungkinan besar ia akan diperkenalkan di negara yang telah memiliki 5G, sama seperti penjualan Mi MIX 3 5G.

Buat masa ini, peranti yang telah berada di pasaran dan memiliki kuasa Snapdragon 855+ ialah ROG Phone 2 dan Black Shark 2 Pro.

Sumber: TENAA, XDA

BACA  Black Shark muat naik gambar peranti misteri berkuasa Snapdragon 855+