fbpx

HTC Rekarnasikan Nama Wildfire Dengan Telefon Trikamera Belakang Ini

HTC adalah nama yang semakin suram dalam arena telefon. Nampaknya mereka kini lebih menumpukan pada bahagian augmented reality melalui HTC Vive mereka. Namun, tanpa khabar berita, tiba-tiba mereka mengumumkan HTC Wildfire X di India.

Tapi, rekaan telefon yang hadir dari HTC ini nampaknya agak generik, sama seperti kebanyakkan telefon yang diumumkan dalam 2018-2019 terutamanya siri P20. Ia tidak mengejutkan kerana telefon ini bukanlah dihasilkan oleh HTC di Taiwan seperti kebiasaannya. Sebaliknya adalah produk yang dilesenkan kepada syarikat di China.

HTC Wildfire X jika dilihat pada specs-nya adalah telefon dalam kelas pertengahan. Ia dikuasakan SoC Helio P22 yang bergandingan dengan RAM 3GB ataupun 4GB. Storan yang hadir bersamanya adalah 32GB ataupun 128GB.

Di bahagian mukanya ada paparan bertakuk sebesar 6.2″ pada resolusi HD+. Takuk itu mengandungi kamera selfie 8MP. Masih tentang kamera, ia ada tiga kamera belakang, gabungan kamera utama 12MP, 8MP (2x telefoto), dan 5MP (bokeh).

Menguasakan telefon ini adalah bateri berkapasiti 3,300mAh dengan pengecasan 10W. Ia akan mula dijual pada 22 Ogos ini pada harga INR10,000 (RM 646) untuk RAM 3GB manakala untuk RAM 4GB pada harga INR 13,999 (RM 822).

Layari laman rasmi produk untuk maklumat lanjut.

BACA  Sebelum Galaxy Note 10 datang, ada dua produk baru Samsung akan diperkenal