fbpx

YouTube akan buang terus video tidak senonoh yang mensasar kanak-kanak

YouTube sejak kebelakangan ini semakin giat mengukuhkan peraturan muat naik video ke platform mereka, bagi melindungi kanak-kanak. Dalam kemaskini Community Guidelines beberapa hari yang lepas, YouTube menyatakan mereka akan terus membuang kandungan yang tidak senonoh dan ganas, yang mensasarkan tayangan untuk kanak-kanak.

Sebelum ini, kandungan tersebut cuma diletakkan di bawah kandungan terhad dewasa, tetapi kini ia akan dibuang terus kerana cuba mensasarkannya kepada kanak-kanak. Antaranya menggunakan tajuk, isi kandungan tulisan dan tag yang berkaitan kanak-kanak, tetapi dengan kandungan yang jelas tidak sesuai untuk kanak-kanak.

Kandungan yang mengelirukan dan cuba berselindung di balik kandungan keluarga, antaranya ialah video yang mensasarkan kanak-kanak dan remaja di bawah umur, video untuk seisi keluarga, serta video yang bertemakan seksual, keganasan, tidak senonoh dan kandungan dewasa yang tidak sesuai untuk penonton muda.

Contoh video yang akan dibuang terus adalah seperti:

  • Video dengan tag kanak-kanak yang memaparkan kartun keluarga tetapi dengan kelakuan tidak senonoh seperti mencucuk jarum ke badan.
  • Video lagu kanak-kanak yang meletakkan tajuk, tag atau isi berkaitan keluarga dan kanak-kanak, tetapi mengandungi paparan dewasa seperti keganasan, seks, kematian dan sebagainya.
  • Video yang mensasarkan golongan muda dan keluarga, dengan perkataan seperti “untuk kanak-kanak” dan “kegembiraan sekeluarga” tetapi menggunakan bahasa kesat atau lucah.
Watak Elsa dan Spider-Man banyak disalahguna

Video-video yang mengelirukan seperti di atas telah lama dimuat naik ke dalam YouTube dengan jutaan tontonan, antaranya menggunakan watak kartun seperti Elsa dari filem animasi Frozen, serta Spider-Man. Tetapi kandungannya sangat tidak senonoh seperti penggunaan jarum suntikan, serta aksi seksual.

Bagaimanapun, kandungan yang jelas menyatakan ia untuk tontonan dewasa walaupun mengandungi aksi tidak senonoh dan bahasa lucah, masih dibenarkan di YouTube.

BACA  Anda Boleh Dapatkan Galaxy Fold Di Malaysia Pada Harga RM13,888

Bagi menyediakan kandungan yang lebih sesuai untuk tontonan kanak-kanak, ibubapa digalakkan untuk menggunakan aplikasi YouTube Kids di mana ia telah ditapis untuk menyenaraikan video yang disasarkan untuk kanak-kanak sahaja. Bagaimanapun, panduan ibubapa masih diperlukan kerana masih terdapat video tidak sesuai yang terlepas dari tapisan sistem YouTube.

Sumber: YouTube, Slahsgear