fbpx

Pencipta video kanak-kanak dan permainan video akan rugi dengan peraturan baru YouTube

Awal bulan ini, YouTube telah didenda oleh Suruhanjaya Perdagangan Persekutuan (FTC) Amerika Syarikat selepas didapati melanggar Akta Perlindungan Privasi Dalam Talian Kanak-Kanak (COPPA). Walaupun denda yang dikenakan bernilai kecil berbanding keuntungan YouTube, ia sebenarnya akan memberi impak yang besar kepada pencipta kandungan kanak-kanak, kerana syarat yang dikenakan bersama denda itu.

Syarat tersebut menyatakan, YouTube mesti berhenti dari mengumpul maklumat berkenaan video yang mensasarkan kepada kanak-kanak yang menurut FTC, sesiapa di bawah umur 12 tahun. Pencipta kandungan kanak-kanak pula, seperti video buka kotak permainan dan lagu kanak-kanak, perlu meletakkan label dengan jelas, kandungan mereka adalah untuk kanak-kanak.

Sekali imbas, syarat ini amat mudah untuk dituruti. Tetapi sebenarnya ia akan memberi kesan kepada peraturan YouTube kepada pencipta kandungan kanak-kanak.

Antaranya, saluran tidak lagi boleh menghantar notifikasi tentang muat naik video terbaru mereka. Ini akan menjejaskan “YouTube Recommendation“, sekaligus mengurangkan pengguna untuk menonton video baru tersebut. Selain itu, paparan iklan juga akan dihadkan. Bermakna, pencipta kandungan akan menerima bayaran berkurangan dari YouTube.

Kandungan yang dicipta untuk kanak-kanak juga akan diberi fungsi yang lebih terhad. Seperti ruang komen dan notifikasi akan dimatikan, tiada lagi tempat untuk penonton berinteraksi dan memberi maklum balas.

Perkara ini turut membimbangkan pencipta kandungan permainan video. Saluran KreekCraft yang dihasilkan oleh Forrest dengan pelanggan melebihi 700 ribu pengguna, mencipta kandungan berkaitan permainan video seperti Fortnite, Minecraft dan Roblox. Ia adalah permainan yang tidak memaparkan keganasan dan sangat mesra kanak-kanak.

Dengan peraturan baru ini, kandungan permainan video mungkin akan diletakkan dalam kategori kanak-kanak. Ini akan menjadikan video tersebut tertakluk di dalam peraturan baru YouTube, sekaligus mengurangkan pendapatan pencipta kandungan berkaitan.

BACA  Galaxy A30s dan A50s Mungkin Menyokong Samsung Pay

Menurut Forrest, beliau mungkin akan beralih ke platform lain seperti Twitch atau Mixer, jika peraturan baru YouTube memberi kesan kepada kandungan video ciptaan beliau. Ini kerana mencipta kandungan video telah menjadi punca pendapatan beliau, dan peraturan baru ini akan menyekat pendapatannya. Untuk meneruskan kehidupan, beliau perlu berpindah ke platform lain.

CEO Family Video Network, Melissa Hunter berkongsi pendapat, peraturan baru ini sebenarnya akan memberi kesan buruk kepada kanak-kanak dan keluarga. Menurut beliau, walaupun kandungan kanak-kanak akan berkurangan di YouTube, ia tidak akan menghentikan keinginan kanak-kanak untuk terus menonton video di YouTube. Tetapi dengan kekurangan kandungan yang sesuai, ia akan membuat kanak-kanak menonton video yang lain. Adakah ini lebih selamat untuk kanak-kanak?

Jika anda pencipta kandungan untuk kanak-kanak atau permainan video, adakah ia akan memberi kesan kepada video anda di YouTube kelak? Apa pandangan anda?

Sumber: YouTube, The Verge