fbpx

Acer Predator Helios 700 boleh overclock prestasi dan penyejukan dengan mudah

Mahukan laptop berprestasi tinggi yang digunakan khusus untuk bermain game sambil mudah dibawa ke mana jua, anda kini boleh mendapatkan laptop Acer Predator Helios 700 di Malaysia. Ia bukan laptop gaming yang biasa, kerana laptop ini datang dengan papan kekunci boleh gelungsur, dikenali sebagai HyperDrift Keyboard.

Salah satu perkara paling penting dalam laptop gaming ialah sistem penyejukan. HyperDrift keyboard membuka sebahagian ruang laptop untuk membenarkan lebih banyak udara boleh dibawa masuk ke perkakas dalaman laptop, menjadikan ia lebih sejuk dari biasa. Prestasi penyejukan ini ditambah lagi dengan penggunaan dwi-kipas 3D Aeroblade generasi ke-4 yang sangat nipis.

Prestasi laptop Helios 700 digerakkan oleh cip Intel Core i9 generasi ke-9, bersama pemproses grafik NVIDIA GeForce RTX2080 yang memiliki 8GB VRAM GDDR6, serta RAM DDR4 sebanyak 32GB, yang boleh dinaik taraf sehingga 64GB. Storan dalaman pula diberikan dalam bentuk 1TB PCIe NVMe SSD (2x512GB) dalam tetapan RAID 0.

Untuk meningkatkan lagi prestasinya, Helio 700 dilengkapi butang Turbo yang menambah kelajuan secara overclock dengan mudah. Acer menyediakan empat mod prestasi iaitu Normal dan Fast apabila keyboard disimpan, serta mod Boosted dan Extreme apabila keyboard digelungsur keluar.

Bagi pengalaman bermain game lebih menarik, Helios 700 dipasang skrin IPS 144Hz berukuran 17.3-inci dan menyokong G-Sync. Papan kekuncinya menampilkan lampu RGB, serta kekunci MagForce untuk kekunci WASD. Ia digandingkan bersama Touchpad Precision berlampu biru dan dua butang tetikus dibawahnya.

Kepada yang berminat memilikinya, laptop Acer Predator Helios 700 telah mula dijual di malaysia bermula 4 Oktober, pada harga RM17,999. Ia boleh didapati di Stor Online Acer serta dari semua pengedar sah Acer di seluruh negara.

BACA  Honor melanjutkan kempen jaminan tahun kedua Rileks, Beli je

Bersama pelancaran Helios 700, Acer turut mengumumkan pertandingan Liga Predator Asia Pasifik akan kembali. Ia akan diadakan di Manila, Filipina pada 22 & 23 Februari 2020. Peserta dari 17 negara akan beraksi untuk merebut hadiah terkumpul sebanyak USD400,000 (~RM1.6juta). Bagi peringkat Malaysia sahaja, hadiah terkumpul adalah sebanyak USD25,000 (~RM100,000).

Wakil Malaysia akan dipilih menerusi pertandingan peringkat tempatan pada bulan Oktober, di mana pusingan akhir untuk DOTA 2 akan diadakan semasa Level UP KL di KLCC pada 9 & 10 November. Manakala pusingan akhir PUBG pula pada 7 & 8 Disember di Battle Arena, Jaya Shopping Centre.