fbpx

SKMM telah tamatkan kontrak syarikat selepas kebocoran data pengguna dikesan

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), telah memberhentikan perkhidmatan syarikat yang telah dilantik pada tahun 2017 untuk melindungi data peribadi pengguna telefon mudah alih, selepas dikesan berlakunya kebocoran data peribadi pengguna termasuk no kad pengenalan, dari syarikat yang sama.

Perkara ini diberitahu dalam jawapan bertulis kepada soalan dari ahli parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil di parlimen semalam. Syarikat yang terbabit, Nuemera (M) Sdn Bhd telah ditamatkan kontraknya oleh SKMM dan Jabatan Peguam Negara sedang menjalankan siasatan terhadap perkara tersebut.

Dalam soalannya, Fahmi Fadzil mempersoalkan bagaimana Nuemera gagal melindungi data peribadi 46.2 juta pengguna telefon mudah alih selepas menerima kontrak menguruskan sistem Perkhidmatan Sekatan Selular Awam atau Public Cellular Blocking Service (PCBS). Beliau juga bertanyakan apakah tindakan yang telah diambil terhadap Nuemera.

Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil

PCBS ialah satu inisiatif SKMM untuk menyediakan perkhidmatan yang membenarkan mangsa kecurian atau kehilangan telefon mudah alih, menghalang telefon tersebut dari digunakan untuk membuat panggilan, SMS atau akses internet walaupun kad SIM ditukar. Ia menggunakan nombor IMEI di telefon mudah alih untuk membuat sekatan.

Untuk memastikan sistem ini berjalan, semua syarikat telekomunikasi di Malaysia telah menyerahkan nombor IMEI dan maklumat peribadi pengguna termasuk nombor telefon, alamat rumah serta nombor kad pengenalan kepada Nuemera.

SKMM tidak menjelaskan bagaimana kebocoran data tersebut berlaku tetapi telah mengambil tindakan terhadap Nuemera selepas siasatan dibuat oleh SKMM dan pihak polis. Siasatan jenayah dibuat di bawah Seksyen 9 dan Seksyen 130 Akta Perlindungan Data Peribadi, berkenaan pengumpulan data peribadi secara tidak sah, serta Seksyen 4 Akta Jenayah Komputer, tentang capaian tanpa kuasa dengan niat untuk melakukan atau memudahkan berlakunya kesalahan lanjut.

BACA  DJI Mavic Mini, Drone Kompak Dengan Satu Kecacatan Ketara

Sumber: Malay Mail