fbpx

Telefon 5G pertama di Malaysia boleh mula ditempah hari ini

Kalau anda berminat nak jadi pemilik telefon 5G terawal di Malaysia, anda boleh berbuat demikian bermula hari ini. Telefon pintar 5G pertama yang akan dijual di Malaysia, Vivo NEX 3 5G telah mula dibuka tempahan awalnya.

Tempahan awal untuk Vivo NEX 3 5G akan diadakan dari hari ini, 15 hingga 18 Oktober 2019. Lebih baik lagi, pembeli tidak perlu meneka berapa harganya kerana Vivo Malaysia telah mengumumkannya.

Harga jualan untuk Vivo NEX 3 5G di Malaysia ialah RM3,899. Harga yang sama untuk telefon pintar Huawei Mate 30 Pro.

Seperti biasa, tempahan awal Vivo NEX 3 5G dalam tempoh ini akan menerima hadiah percuma bernilai RM699 dalam bentuk:

  • Beg Kelengkapan Peribadi Perniagaan
  • Berus Gigi Elektrik
  • Pencukur Elektrik
  • Perlindugan skrin setahun dan Jaminan Lanjutan

Secara rasmi, Vivo NEX 3 5G akan dilancarkan di Malaysia pada hari Khamis ini, 17 Oktober 2019. Ia akan menjadi telefon pintar yang menyokong rangkaian 5G pertama dijual di Malaysia.

Vivo NEX 3 5G ialah telefon pintar kelas flagship berkuasa tinggi. Ia dikuasakan pemproses Snapdragon 855 Plus dengan sokongan 5G, bersama RAM 8GB dan storan UFS 3.0 256GB.

Telefon ini menampilkan skrin ‘air terjun’ yang melengkung di kedua-dua sisi hingga hampir ke belakang, dengan nisbah skrin ke badan setinggi 99.6%. Ia menggunakan skrin Super AMOLED berukuran 6.89-inci, tanpa takuk dan lubang. Bateri di dalamnya sebesar 4,500mAh dan ia menyokong pengecasan pantas Super FlashCharge 44W, mengambil masa hanya 67 minit untuk mengecas penuh.

Telefon ini juga tiada butang fizikal terbonjol padanya. Ia dilengkapi butang sentuhan Touch Sense dengan getaran untuk memberikan rasa butang fizikal. Pengimbas capjari juga tidak kelihatan kerana ia dipasang ke dalam skrin.

Tarikan lain pada NEX 3 ialah sistem tiga kamera belakangnya yang dipanggil Lunar Ring Camera System. Ia menggabungkan kamera utama 64MP F2.0, kamera ultra-lebar 13MP F2.0 dan kamera telefoto 13MP F2.4. Kamera depannya pula menggunakan sensor 16MP yang berpasangan dengan LED Flash dan dipasang pada modul pop boleh sembunyi.

BACA  Hanya tambah nilai Xpax untuk peluang menang Samsung Galaxy A50s