Tinjauan awal ke Exchange 106 di TRX, ikon terbaru Kuala Lumpur

Walaupun terpalit dengan nama 1MDB, ia tidak membantutkan langsung kerancakan pembangunan di zon Tun Razak Exchange (TRX). Bangunan yang tertinggi di Malaysia buat masa kini, Exchange 106 akan mula membuka tirainya kepada rakyat Malaysia tidak lama lagi.

SoyaCincau telah dijemput oleh pemilik Exchange 106, Mulia Property Develompent Sdn Bhd (Mulia) untuk meninjau bagaimana rupa akhir bangunan tersebut sebelum ia mula beroperasi dan digunakan oleh penyewa seawal Disember 2019.

Secara fizikal, Exchange 106 berukuran 493.06 meter tinggi dari paras laut. Ia memiliki 106 tingkat, mengatasi Menara Berkembar Petronas yang memiliki 88 tingkat dan ketinggian 451.9 meter. Ia juga diiktiraf sebagai bangunan ke-6 tertinggi di dunia.

Menurut Mulia, mereka telah berjaya mendapatkan penyewa bagi mengisi 20% ruangan di dalam bangunan. Mulia mensasarkan untuk meningkatkan kapasiti penyewa kepada 50% menjelang hujung tahun 2020.

Pembangunan Exchange 106 boleh dikira sangat pantas, dengan kadar purata 3-hari untuk menyiapkan satu tingkat. Ada kalanya, ia mengambil masa secepat 2-hari untuk membina 1 tingkat. Secara keseluruhan, pembinaan Exchange 106 mengambil masa 835 hari dengan tenaga kerja selama 20 juta jam.

Perakuan Penyiapan dan Pematuhan (CCC) telah diterima oleh Exchange 106 baru-baru ini, tetapi untuk separuh bahagian bawah tingkat bangunan. Kami telah dibawa ke tingkat 57 di mana ia merupakan lobi angkasa yang menghubungkan penyewa serta pelawat ke bahagian atas bangunan. Tingkat ini juga menjadi tingkat paling tinggi boleh dikunjugi orang ramai kerana tiada tempat meninjau terdapat di atas bangunan.

Tingkat 57 telah dipilih sebagai simbolik tahun kemerdekaan Malaysia. Malah, 106 tingkat bangunan ini sebenarnya mendapat inspirasi dari “Pak Luk Kan” yang bermaksud 106 banglo. Ia adalah kawasan yang popular, terletak di antara Jalan Imbi dan Jalan Sultan Ismail, suatu masa dahulu menempatkan 106 buah banglo.

Lokasi Exchange 106 yang terletak di dalam kawasan TRX, memiliki jaringan penghubungan yang mudah dan meluas. Ia terletak di hadapan jalan masuk ke lebuhraya MEX dan terowong SMART. Di samping itu, satu stesen MRT telah dibina dan teah mula beroperasi di TRX untuk kemudahan pengangkutan awam.

Dalam tinjauan ini, kami telah dibawa ke tingkat contoh ruangan pejabat. Ruangan ini kelihatan sangat luas kerana rekaan tanpa tiang yang digunakan dalam pembinaan Exchange 106. Ia ditambah lagi dengan kecanggihan sistem tandas yang memiliki kawalan elektronik untuk membuka dan menutup mangkuk tandas, kawalan pancutan air dan pengering.

Sebagai bangunan moden, Exchange 106 diiktiraf dengan Indeks Bangunan Hijau (GBI) dengan elemen penjimatan tenaga dan air. Selain dari diliputi pelbagai kawasan dengan tumbuhan sebenar dan perhubungan ke sistem pengangkutan awam.

Bagi menarik minat syarikat berkaitan teknologi, Exchange 106 juga disahkan di peringkat pertama sebagai MSC Tier 1 Cybercentre. Ia dilengkapi jaringan kabel fiber serta liputan rangkaian mudah alih dalam bangunan. Kami menerima signal Maxis yang kuat di dalam semasa tinjauan, tetapi signal Celcom dan Digi yang sangat lemah. Ia mungkin masih dalam peringkat pembinaan.

Wakil Mulia menjelaskan, penyewa utama Exchange 106 terdiri dari pelbagai syarikat dalam dan luar negara, termasuk firma perunding terkemuka di dalam senarai teratas Fortune 500.

Tidak dapat dinafikan, Exchange 106 akan menjadi satu lagi bangunan ikonik di Kuala Lumpur, sebaris dengan Menara Berkembar Petronas. Tetapi anugerah bangunan tertinggi di Malaysia tidak boleh lama dipegang olehnya kerana menara PNB 118 yang masih dalam pembinaan, dijangka siap pada tahun 2021 akan memiliki ketinggian 666-meter.