fbpx

Gelombang kedua jualan siri Mate 30 perlukan nombor rujukan

Hari ini, 25 Oktober 2019 tanda bermulanya pembeli terawal Huawei Mate 30 Pro menerima telefon pintar mereka. Seperti yang dimaklumkan sebelum ini, tempahan awal Mate 30 Pro tidak dibuat secara terbuka, sebaliknya hanya yang terpilih sahaja boleh membelinya.

Dalam kempen tempahan awal sebelum ini, hanya mereka yang pernah memiliki telefon pintar Huawei siri Mate sebelum ini berpeluang untuk membeli Mate 30 Pro. Telefon pintar Mate 30 Pro yang dijual pada harga RM3,899 ini turut datang dengan pelbagai hadiah percuma yang lumayan untuk penempah terawal.

Hari ini, Huawei Malaysia berkongsi surat terbuka dari CEO-nya, Bill Liu di Facebook Huawei. Beliau menerangkan beberapa perkara penting berkenaan kempen Siri Mate 30 di Malaysia.

Secara ringkas, Huawei mahu memberi perkhidmatan terbaik kepada pengguna bagi menyesuaikan diri terhadap perkhidmatan Huawei Mobile Services yang baru. Siri Mate 30 adalah peranti pertama Huawei yang tidak dilengkapi Google Mobile Services, membuatkannya tidak boleh menggunakan aplikasi keluaran Google seperti YouTube, Maps, Mail, Playstore dan banyak lagi.

Untuk itu, Huawei memilih pemilik terawal dari kalangan pengguna siri Mate yang lama, yang dilihat sudah biasa dengan antaramuka EMUI dan beberapa aplikasi Huawei di dalamnya. Huawei turut menyediakan talian hotline khusus buat pemilik siri Mate 30 di nombor 1800-22-0086 serta saluran WhatsApp eksklusif untuk sebarang pertanyaan.

Untuk penjualan seterusnya, Huawei Malaysia akan mengadakan Program Rujukan Siri Mate 30. Dari 26 November hingga 7 Oktober 2019, sesiapa yang berminat untuk membeli Siri Mate 30 perlu mendapatkan nombor rujukan dari pemilik siri Mate 30 sedia ada, sebelum boleh membuat tempahan. Tempahan awal ini boleh dibuat menerusi laman web Program Rujukan Siri Mate 30.

BACA  AirPods Terima Rawatan "Pro" Untuk Hadir Dengan Penyaring Hingar Aktif

Tempahan dalam tempoh ini, akan menerima hadiah percuma bernilai RM656 iaitu casing, pengecas kereta wayarles Huawei SuperCharge serta jaminan tambahan tahun kedua bersama perlindungan keretakan skrin selama 6-bulan. Pembeli untuk tempahan ini akan menerima peranti mereka bermula 11 November 2019.

Jika anda tiada rakan untuk mendapatkan nombor rujuan, anda boleh menggunakan nombor rujukan Bill Liu iaitu: 33995. Tetapi ia hanya boleh digunakan dalam masa 2 hari sahaja iaitu 26 & 27 Oktober 2019. Selepas itu, anda perlu mendapatkan nombor rujukan dari orang lain.

Program Rujukan ini merupakan kesinambungan dari kempen pemilikan terawal Mate 30 sebelum ini. Ia diteruskan bagi mengumpulkan pengguna baru siri Mate 30 bersama pemilik sedia ada siri Mate 30 agar dapat berkongsi pengalaman dan menjadi panduan pemilik baru, terutama sekali apabila menggunakan Huawei Mobile Services.

Terma dan syarat Program Rujukan Siri Mate 30 ini boleh dirujuk di sini.

Sumber: Huawei