fbpx

Realme XT mencabar Mi 9T dengan kamera 64MP dan pengecas VOOC 3.0

Walaupun lebih awal mengiklankan telefon pintar mereka dengan kamera 64MP, Realme tidak dapat menyaingi Xiaomi yang lebih dahulu menjual Redmi Note 8 Pro yang turut dilengkapi kamera 64MP. Begitu juga di Malaysia, selepas beberapa minggu Redmi Note 8 Pro dilancarkan, akhirnya Realme membawakan Realme XT di Malaysia.

Kameranya sama 64MP, tetapi Realme XT terletak di kedudukan lebih atas dari Redmi Note 8 Pro. Saingan sebenar Realme XT ialah Mi 9T. Ini kerana Realme XT menggunakan paparan Super AMOLED HD Penuh, berukuran 6.4-inci serta dilapisi kaca Corning Gorilla Glass 5. Kerana itu, membolehkannya meletakkan pengimbas capjari di dalam skrin. Tetapi terdapat takuk kecil di atas skrin Realme XT.

Kuasa di dalam Realme XT digerakkan oleh pemproses Snapdragon 712, sama seperti Realme 5 Pro. Kuasa ini dipadankan dengan RAM 8GB, serta storan UFS2.1 seluas 128GB. Kad mikroSD boleh dimasukkan di dalamnya untuk meluaskan storan sehingga 256GB.

Kamera belakang Realme XT menampilkan kamera utama 64MP F1.8 yang menggunakan sensor Samsung GW1. Kamera lain ialah kamera ultra lebar 8MP, kamera makro 2MP dan kamera bokeh 2MP. Tiada kamera telefoto. Di hadapan, ia dipasang kamera 16MP di dalam takuk kecil di atas skrin.

Bateri berkapasiti 4,000mAh terdapat di dalam Realme XT. Ia menyokong pengecasan pantas VOOC 3.0 20W yang disambung melalui port USB-C.

Realme XT dijual di Malaysia dengan dua pilihan warna dalam kemasan yang menawan, berwarna putih dan biru. Harga di Malaysia pula telah ditetapkan pada RM1,399 bersama RAM 8GB dan storan 128GB.

Jualan pertama Realme XT akan diadakan pada 11 November 2019, secara eksklusif di Lazada. Ia boleh dibeli di kedai bermula dari 9 November 2019.

BACA  Vcash ucap selamat tinggal kepada dompet elektronik