Keuntungan Apple tetap meningkat walau jualan iPhone dan Mac merudum

Jualan iPhone terus menurun, mencatat kejatuhan 9.2% berbanding tahun lepas apabila mengumpulkan USD33.36 bilion suku ke-4 tahun ini berbanding USD36.76 bilion tahun lepas. Jualan komputer Mac juga menurun hampir 5%, tahun ini mengumpul USD6.99 bilion.

Apple telah mengeluarkan laporan pendapatan fiskal suku ke-4 2019 dan ia mencatatkan pendapatan sebanyak USD64 bilion, kenaikan sebanyak 2% berbanding suku yang sama tahun lepas. Tetapi kenaikan ini tidak disumbang oleh jualan telefon pintar iPhone.

Kenaikan pendapatan tahun ini disumbang oleh perniagaan perkhidmatan Apple apabila memungut USD12.5 bilion pada suku ke-4, berbanding USD11.46 bilion pada suku ke-3 dan USD10.6 bilion pada suku ke-4 2018. Menurut Apple, mereka kini memiliki 450 juta langganan berbayar merentasi pelbagai perkhidmatan, berbanding hanya 330 juta tahun lepas.

Tablet iPad dan juga aksesori di rumah dan peranti boleh pakai Apple juga menunjukkan kenaikan tinggi dengan mengumpulkan USD4.65 bilion (iPad) manakala peranti boleh pakai pula sebanyak USD6.52 bilion.

Walaupun langganan perkhidmatan Apple mencatatkan keuntungan, harus diingat ia masih boleh mengira kedatangan Apple TV+ yang baru dibuka langganannya bulan ini. Tetapi ia termasuk langganan Apple Arcade, perkhidmatan permainan video yang telah dilancarkan pada bulan September.

Seperti biasa, suku pertama 2020 akan menjadi perhatian ramai memandangkan ia mengandungi jualan utama pada hujung tahun. Malah, semua produk baru Apple telah dilancarkan dan boleh mula dibeli dan dilanggan pengguna. Suku pertama 2019 menyaksikan pendapatan Apple sebanyak USD84.3 bilion dan Apple menjangkakan keuntungan sekitar USD85.5 ke USD89.5 bilion untuk suku pertama 2020.

Sumber: The Verge, BusinessWire

BACA  Apple akan dipaksa meninggalkan Lightning dan menggunakan USB-C