fbpx

Adobe perkenal Photoshop Camera dengan kuasa Sensei

Kaki selfie dan mereka yang gemar mengambil gambar menggunakan telefon, lepas ni boleh menghasilkan tangkapan gambar yang lebih menarik menggunakan Photoshop Camera. Adobe mengumumkan pelancaran aplikasi mudah alih Photoshop Camera, sebuah aplikasi mengambil gambar dengan kuasa AI. Ia kini dibuka secara terhad kepada pengguna iOS dan Android yang terpilih.

Adobe menggunapakai kuasa AI dari platform Adobe Sensei buatan mereka sendiri. Ia boleh mengenalpasti subjek di dalam gambar yang mahu diambil dan mancadangkan penapis yang sesuai digunakan. Penapis ini boleh digunakan secara langsung semasa mahu mengambil gambar, atau dikenakan selepas gambar diambil.

Penapis di Photoshop Camera juga akan menampilkan penapis dari artis terpilih, malah Adobe juga memberikan peluang kepada penguji awal untuk menghasilkan penapis mereka sendiri. Bunyinya macam sama dengan aplikasi kamera yang lain bukan, terutama sekali Instagram dan Snapchat.

Ketua Pegawai Teknologi Adobe, Abhay Parasnis menyatakan, penapis di Photoshop Camera boleh direka sama seperti perisian Spark AR yang digunakan Facebook dan Instagram Stories. Tetapi ia lebih mudah direka kerana menggunakan lapisan PSD dari Photoshop.

Selain itu, Photoshop Camera dilengkapi fungsi auto-masking di mana ia adalah fungsi baru di dalam aplikasi Photoshop sebenar. Fungsi ini membolehkan subjek dipilih dan diedit tanpa mengganggu subjek lain di dalam gambar. Jadi efek seperti bokeh, boleh ditambah dengan lebih sempurna. Contohnya gambar awan dan gunung di atas, bagaimana ia boleh diubah dengan mudah dan sempurna.

Bagaimanapun, Adobe sedar betapa bahayanya kuasa auto-masking yang boleh digunakan dengan mudah di telefon pintar. Mereka akan membentangkan beberapa inisiatif untuk menjawab kesahihan ciptaan kandungan dalam persidangan Adobe Max tidak lama lagi.

BACA  Pengguna LRT, MRT, Monorel dan Komuter kini boleh mula guna jejantas pejalan kaki ke Mid Valley

Pada bulan Jun lepas, Adobe dengan kerjasama UC Berkely telah mencipta peralatan yang menggunakan kuasa pembelajaran mesin untuk mengesan jika gambar telah diubahsuai. Perisian tersebut melindungi data peribadi pengguna kerana ia menyimpan gambar dan menjalankan proses AI di dalam peranti yang menggunakannya sahaja.

Kepada yang berminat untuk menyertai penggunaan awal Photoshop Camera, boleh mendaftarnya di sini. Adobe merancang untuk melancarkannya pada awal tahun 2020.

Sumber: The Verge