fbpx

Cermin mata pintar Huawei X Gentle Monster akan tiba di Malaysia minggu depan

Cermin mata pintar Huawei x Gentle Monster akan tiba di Malaysia minggu hadapan. Ia adalah sebuah cermin mata dengan sambungan Bluetooth yang membolehkan pengguna menjawab panggilan atau mendengar lagu tanpa didengari orang lain.

Cermin mata ini berbeza dari Google Glass yang memiliki paparan. Ia kelihatan seperti cermin mata hitam biasa dengan fon kepala Bluetooth terbina di dalamnya. Terdapat dua pembesar suara dengan rekaan separa terbuka bersama dua mikrofon di bingkai yang menggunakan kuasa AI untuk menyaring hingar.

Untuk menjawab panggilan atau mengawal lagu, pengguna boleh menekan dua kali di bahagian sisi. Apabila cermin mata dicabut, ia akan secara sendirinya memberhentikan lagu dari dimainkan, dan akan menyambung semula selepas 15 saat memakainya.

Dengan sekali pengecasan, bateri 85mAh di dalamnya boleh bertahan sehingga lebih dari 2.5 jam menjawab panggilan atau memainkan lagu. Untuk mengecas, hanya masukkannya semua ke dalam bekas pengecas wayarles yang datang bersamanya. Bekas ini memiliki bateri sebesar 2,200mAh dan boleh memberikan masa penggunaan sehingga 8 jam.

Cermin mata ini juga kalis air dan debu IP67 tetapi Huawei memberi amaran perlindungan ini akan berkurangan selaras dengan penggunaan harian.

Terdapat dua model yang akan dibawa masuk ke Malaysia iaitu Eastmoon dan Jackbye. Kedua-dua akan dijual pada harga RM1,599. Jika berminat, tempahan awal akan dibuka bermula 11 November 2019 dan mula dijual pada 15 November 2019.

BACA  Huawei Sediakan Bonus Lebih RM1 Billion Kepada Kakitangan Tanda Penghargaan