fbpx

Stor fizikal terbesar Taobao di Malaysia akan dibuka tahun ini

Alibaba Group, platform e-dagang terkemuka dari China akan membuka Stor Taobao terbesar di Malaysia pada hujung tahun ini. Kedai tersebut akan dibuka di pusat membeli-belah MyTOWN Shopping Centre, Kuala Lumpur.

Stor Taobao terbesar ini ditubuhkan dengan kerjasama dari MyTOWN sendiri serta pakar gedung beli-belah, Lumahgo New Retail Sdn Bhd. Ia akan memiliki ruang sebesar 5,000 kaki persegi dan diberi nama Taobao Store by Lumahgo.

Alibaba telah membawa rakan media dan rakan niaga untuk meninjau ruang dalaman gedung membeli-belah ini sebelum dibuka kelak. Ia akan menjual pelbagai jenis produk dari bahagian ibu dan bayi Alibaba iaitu Qinbaobei, serta produk Kecantikan, Kediaman, dan Elektronik. Produk dari jenama tempatan seperti Redtick, BigboxAsia, Vivid Malaysia, DirectD Malaysia dan Deep Furniture turut menyertai pameran tersebut.

“Pendigitalan dan ciri keperibadian pengalaman membeli-belah yang akan diperkenalkan oleh Lumahgo x Taobao Store merupakan penambahan istimewa kepada penyewa kami kerana ia bertujuan menyasarkan pelanggan yang tidak menggunakan teknologi dan mahu membeli secara fizikal, serta memberikan pengalaman pembelian dengan sentuhan digital, melalui big data dan teknologi yang dikuasakan oleh Alibaba,” jelas En. Azhan Che Mat, Pengurus Pusat MyTOWN Shopping Centre.

“Melalui penyatuan pengalaman membeli secara online dan offline, kami berharap dapat memberikan pengalaman membeli-belah unik untuk pelanggan, di mana mereka boleh membeli dengan tenang melalui perkhidmatan pra dan pasca jualan tempatan yang telah dirumus khas buat mereka. Inisiatif ini menunjukkan potensi untuk menarik lebih ramai pengguna ke platform Taobao,” jelas Fabian Kong, CEO Lumahgo New Retail Sdn Bhd.

Bersama pengumuman pembukaan stor ini, Alibaba turut mengumumkan akan mendirikan Sudut Harapan di tiga buah rumah anak yatim di Lembah Klang iaitu Rumah Charis – Home For The Children, Rumah Sayangan, and Rumah K.I.D.S. Sudut harapan ini akan dilengkapi perabot, buku, dan barang-barang lain yang disediakan oleh penjual dari Lumahgo dan Taobao. Ia dijangka selesai dibina sebelum Tahun Baru China 2020.

BACA  Jam Honor dengan kulit asli akan tiba di Malaysia pada 20 Januari