Apple hari ini memperkenalkan laptop mereka yang paling berkuasa, MacBook Pro 16 baru dengan skrin retina lebih besar, prestasi lebih tinggi dan sistem penyejukan haba yang lebih baik. Ia juga menampilkan papan kekunci baru, Magic Keyboard dengan mekanisma gunting yang direka semula bagi memberikan pengalaman menaip yang lebih memuaskan.
Membawakan nama Pro, laptop baru ini dilengkapi dengan pemproses Intel Core-i generasi ke-9, dengan pilihan dari Core i7 6-teras 2.6GHz sehinggalah Core i9 8-teras 2.4GHz. RAM yang digunakan kini lebih pantas, berkelajuan 2666MHz berbanding 2400MHz sebelumnya dengan kapasiti sehingga 64GB boleh dimuatkan.
Untuk storan, pilihan SSD memberikan sehingga 8TB kapasiti, dua kali lebih banyak dari model sebelum ini. Pemprosesan grafik pula diuruskan oleh GPU AMD dari siri Radeon Pro 5000m 7nm, bersama memori video GDDR6 sehingga 8GB.
Skrin retina lebih besar pada MacBook Pro baru ini berukuran 16-inci dari jenis IPS, dengan resolusi 3072×1920 membawakan kepadatan setinggi 226ppi. Tahap kecerahannya mencecah 500 nits dan memiliki teknologi True Tone serta gamut warna lebar P3.
Aduan pengguna MacBook Pro berkenaan papan kekunci butterfly membuatkan Apple mereka semula mekanisme kekunci yang memberikan pengalaman menaip yang lebih memuaskan. Di samping itu, ia juga memiliki Touch Bar di atas papan kekunci, sebuah skrin sentuh yang boleh digunakan untuk pelbagai tetapan. Tambahan lagi, Apple kini meletakkan butang ESC di sudut atas kiri, satu lagi perubahan untuk pengalaman menaip yang lebih memuaskan.
Apple mengekalkan trackpad Force Touch yang sama kerana ia merupakan salah satu trackpad terbaik di pasaran dan digemari ramai. Selain itu, pengimbas capjari Touch ID diletakkan di sudut atas kanan untuk kegunaan pintu masuk keselamatan.
Salah satu naik taraf besar di MacBook Pro ini ialah rekaan sistem penyejukan, terutama untuk pemproses Core i9. Bilah kipasnya dipertingkat kuasa dan dipadankan dengan heatksink lebih besar untuk menyebarkan haba lebih pantas. Menurut Apple, ini membolehkannya beroperasi pada prestasi lebih tinggi untuk jangka masa yang lebih lama.
Sistem bunyi juga tidak ketinggalan. Terdapat 6 pembesar suara dipasang padanya dengan sokongan teknologi Dolby Atmos. Ia turut memiliki tiga mikrofon kamera dengan 40% pengurangan bunyi bising dan nisbah signal-ke-hingar diperbaiki (SNR) yang dikatakan menyaingi mikrofon digital gred profesional.
Apa guna prestasi tinggi jika tidak boleh digunakan pada masa yang diperlukan. Untuk menampung tenaga skrin yang lebih besar, Apple meletakkan bateri dengan kapasiti lebih besar. Ia memberikan kuasa untuk melayari internet atau memainkan video Apple TV sehingga 11 jam. Kuasa pengecas juga kini lebih pantas, dengan menggunakan pengecas USB-C 96W berbanding versi 87W sebelum ini.
Dari segi ukuran, laptop ini hanya 1 cm lebih panjang dan lebar dari model 15-inci. Ketebalannya juga hanya 0.52cm lebih tebal dengan berat keseluruhan 2.0kg, 170g lebih berat. Untuk sambungan, ia masih mengekalkan 4 port Thunderbolt 3, 2 port pada setiap sisi.
Dengan tibanya MacBook Pro 16 yang baru ini, Apple telah memberhentikan pengeluaran MacBook Pro 15. Walaupun dengan banyak pembaharuan yang dibuat, Apple masih mengekalkan tanda harga yang sama dengan MacBook Pro 15.
Bagi model asas dengan pemproses Core i7, ia disenaraikan dari serendah RM10,499 yang datang dengan storan SSD 512GB. Untuk prestasi lebih tinggi, kuasa pemproses Core i9 bersama storan SSD 1TB dijual bermula dari RM12,199.
Laptop baru MacBook Pro 16 ini telah disenaraikan di stor online Apple Malaysia. Tetapi, ia masih belum boleh dibeli buat masa ini. Apa pendapat anda dengan laptop Pro terbaru Apple ini. Adakah anda akan bertukar ke MacBook Pro 16 dengan segala kehebatan yang baru?
Sumber: Apple