fbpx

Laptop Zenbook 13/14/15 terbaru kekal ringan dan nipis dengan tambahan skrin kedua

Siri Zenbook 13/14/15 dikenali sebagai laptop yang amat kecil, pernah memegang rekod laptop paling kecil di dunia dengan saiz lebih kecil dari kertas A4 untuk model 13-inci. Tahun ini, ASUS mengekalkan ciri-ciri ringan, kecil dan nipis pada siri ini dengan menambah satu fungsi utama, skrin kedua.

Laptop Zenbook 13/14/15 kini diperkasa dengan CPU Intel Core-i generasi ke-10 yang terbaru, antara laptop terawal menggunakannya yang telah berada di pasaran. Sementara model 13 & 14 menggunakan Core i5-10210U, model 15 dipasang dengan CPU Core i7-10510U yang lebih berkuasa.

Kuasa grafik turut dipertingkat dengan model 13 & 14 kini dipasang GPU GeForce MX250 bersama 2GB GDDR5 RAM. Untuk model 15 pula, ia kini memiliki kuasa GPU GeForce GTX1060 Max-Q bersama 4GB GDDR5 RAM.

RAM di dalamnya tidak berubah. Model 13 dan 14 dilengkapi RAM LPDDR3 sebesar 8GB manakala model 15 dipasang dengan RAM LPDDR3 sebesar 16GB. Storan juga sama dengan model 13 dan 14 dimuatkan storan SSD 512GB dan untuk model 15 pula storan SSD 1TB.

Tarikan unik pada siri ZenBook kali ini ialah ScreenPad 2.0. Ia adalah skrin yang bergabung dengan touchpad, sebesar 5.65-inci. Skrin ini boleh diaktifkan untuk dijadikan pelbagai kekunci pantas atau skrin kedua untuk kawalan tambahan semasa menjalankan aplikasi.

Saiz badan ZenBook yang baru ini masih sama seperti model tahun lepas. Model 15-inci hanya sebesar kertas A4 manakala model 13 dan 14 memiliki saiz yang lebih kecil dari kertas A4. Beratnya juga hanya 1.27kg bagi model 13 dan 14 serta 1.65kg untuk model 15.

Badan luar Zenbook diperhalusi dengan kemasan besi metalik. Jangan tak percaya, Zenbook diperakui dengan standard ketenteraan MIL-STD-810G. Ia boleh beroperasi dalam persekitaran bertekanan tinggi, suhu ekstrem dan lembap.

BACA  Laptop dwi-skrin 4K pertama di dunia dilancar di Malaysia pada harga bermula RM12,999

Harga jualan model terbaru ZenBook 13, 14 dan 15 ini tidak jauh berbeza dari tahun lepas. Bagi Zenbook 13, ia dijual pada harga RM4,399 dengan kuasa Core i5-10210U, RAM 8GB dan storan SSD 512GB. ZenBook 13 pula berharga RM4,499 dengan spesifikasi yang sama.

Untuk ZenBook 15, harganya lebih mahal iaitu RM6,499 kerana memiliki kuasa Core i7-10510U, RAM 16GB, storan 1TB dan grafik GeForce GTX1650 Max-Q. Pilihan warna yang disediakan untuk kesemua model ini ialah biru dengan tambahan warna perak khas untuk ZenBook 13.

Maklumat lanjut tentang laptop baru ASUS ini boleh didapati di laman web ZenBook 13 (UX334F), ZenBook 14 (UX334F) dan ZenBook 15 (UX534F).