fbpx

Aplikasi penjejak bas Rapid KL akan sedia digunakan awal tahun depan

Pengguna bas RapidKL boleh menarik nafas lega dengan pengumuman ini. Aplikasi untuk mengesan kedudukan bas Rapid KL sedang dalam pembangunan di mana ia akan banyak membantu orang ramai mengatur perjalanan dengan lebih efisyen.

Perkara ini dimaklumkan oleh Kementerian Pengangkutan di laman web Parlimen, sebagai menjawab soalan ahli parlimen Batu, P. Prabakaran yang meminta Menteri Pengangkutan menyatakan bagaimana kementerian ingin memastikan pengangkutan awam seperti Bas Rapid KL memberi perkhidmatan mengikut jadual ditetapkan.

Maklumat tentang aplikasi ini kemudiannya dijelaskan lagi oleh Rapid KL sendiri. Menerusi Facebook Rapid KL, aplikasi perancang perjalanan ini akan memberikan maklumat masa nyata kepada pengguna. Mereka bekerjasama dengan Google dan Moovit serta beberapa pihak lain untuk membangunkannya. Ia dijangka siap dan sedia digunakan pada Januari 2020 akan datang.

Sebenarnya Rapid KL telah sedia memiliki alat penjejak di bas milik mereka. Beberapa stesen bas terutama di stesen LRT, memiliki papan tanda yang memberitahu berapa lama bas yang ditunggu akan tiba. Apa yang tinggal ialah menerapkan peralatan tersebut ke dalam aplikasi yang boleh dirujuk oleh orang ramai. Jadi ia bukanlah satu perkara yang sukar untuk Rapid KL melaksanakannya.

Dengan adanya akses ke masa nyata perjalanan bas, sudah pasti ia dapat menyelesaikan masalah hubungan akhir pengguna pengangkutan awam selepas menaiki tren. Ini kerana sistem tren iaitu LRT, MRT, Monorel dan Komuter sangat mudah digunakan kerana boleh mengetahui waktu pergerakan tren. Perkara yang membuatkan ramai orang tidak gemar menaiki bas ialah waktu menunggu yang tidak menentu dan perkara ini sudah pasti dapat menyelesaikan isu tersebut.

Sumber: Awani

BACA  Dua telefon baru Vivo ditemui telah menerima pengikitrafan SIRIM