fbpx

Adakah polis boleh semak telefon bimbit orang awam secara rambang?

Dalam sidang parlimen pada hari Isnin lepas, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Mohd Azis Jamman menyatakan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mempunyai hak untuk menyemak telefon bimbit orang awam secara rambang. Ia adalah jawapan kepada persoalan tambahan Ahli Parlimen Alor Setar, Chan Ming Kai.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Mohd Azis Jamman

Tambah Azis lagi, perkara itu dibenarkan untuk menjaga ketenteraman awam berdasarkan peruntukan undang-undang mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998. Bagaimanapun orang ramai perlu tahu hak mereka seperti meminta identiti pegawai polis yang melakukan pemeriksaan sebagai rekod jika ada pelanggaran prosedur operasi standard (SOP).

Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan

Bagaimanapun perkara ini disangkal oleh Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan yang memaklumkan polis tidak boleh sewenang-wenangnya memeriksa telefon bimbit orang awam. Menurut Musa, polis hanya boleh memeriksa telefon orang awam jika ada laporan polis yang dibuat terhadap seseorang, dan mereka menyiasat orang itu, atau polis mengesyaki seseorang terlibat dalam jenayah dan sedang menyiasatnya.

Sehari kemudian, Azis mengeluarkan kenyataan rasmi melalui kepala surat Kementerian Dalam Negeri untuk menjelaskan lagi penerangannya sebelum ini. Tetapi kelihatan terdapat perubahan dalam kenyataan tersebut.

Dalam kenyataan itu, Azis menjelaskan bahawa PDRM hanya boleh meminta atau merampas telefon bimbit milik orang yang disyaki dan terlibat dalam mana-mana siasatan yang sedang dijalankan dan bukan orang awam secara rambang. Perkara ini sama seperti yang dinyatakan oleh Musa Hassan.

Sekiranya orang ramai mendapati terdapat salah laku polis berkenaan perkara ini atau mahu bertanya, boleh menghubungi Cawangan Pengurusan Aduan, Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard, PDRM di talian hotline 1-800-880-222 atau emel ke [email protected] atau faks ke 03-22667080.

Apa langkah terbaik jika Polis meminta telefon anda?

Bagaimana jika suatu hari nanti anda berdepan situasi begini, terdapat pihak polis yang menahan anda dan meminta diberikan telefon milik anda? Syahredzan Johan (Syah), seorang pengamal undang-undang mencadangkan untuk menuruti sahaja permintaan itu.

BACA  Fungsi Terbaru Waze Beritahu Anda Jumlah Bayaran Tol Untuk Ke Destinasi Anda

Syah mencadangkan orang ramai untuk melakukan tiga langkah ini apabila berhadapan situasi tersebut:

  1. Minta ditunjukkan kad kuasa polis
  2. Bertanya dengan baik, kenapa mereka meminta telefon tersebut. Atas jenayah apakah polis mengesyaki anda.
  3. Jika didesak juga, berikan sahaja telefon itu. Jangan terus melawan, tetapi buat laporan polis selepas itu.

Untuk menguatkan lagi cadangan beliau, Syah berkongsi kisah tentang penahanan Fahmi Reza pada tahun 2016. Fahmi telah ditahan dalam satu perhimpunan di Dataran Merdeka oleh DBKL dan PDRM. Beliau tidak melawan tetapi bertanya apa kesalahannya. Fahmi kemudian dibawa ke IPD, ditahan selama beberapa jam kemudian dibebaskan pada hari yang sama.

Seterusnya, Fahmi telah menyaman pihak Kerajaan, DBKL dan juga polis kerana penahanannya kerana penahanan yang tidak sah (unlawful arrest). Mahkamah telah mendapati bahawa kesemua Defendan-defendan bertanggungjawab dan mengarahkan supaya gantirugi dibayar kepada Fahmi atas penahanannya. Mahkamah memutuskan Fahmi berhak ke atas gantirugi am dan teladan daripada DBKL (RM25K) dan polis (RM13K).