fbpx

Honor MagicBook Diperkasa AMD Ryzen Untuk Prestasi Tanpa Kompromi

Bersama-sama V30, Honor terus mengumumkan laptop baru mereka iaitu MagicBook 14 dan MagicBook 15. Daripada helaian spesifikasi, mereka adalah laptop yang berspesifikasi agak tinggi apabila diperkasa CPU generasi terbaru, AMD Ryzen 5 dan Ryzen 7.

Dua laptop yang diumumkan miliki spesifikasi dan fizikaliti yang hampir serupa cuma bezanya pada saiz paparan dan kapasiti bateri yang terkandung padanya. MagicBook 14 ada paparan FHD sebesar 14″ manakala MagicBook 15 ada paparan 15.6″ pada resolusi yang serupa.

Atas papan utama, pengguna boleh memilih sama ada yang diperkasa Ryzen 7 3700U dan Ryzen 5 3500U. Ia tidak miliki pemproses grafik luaran sebaliknya segala bebanan grafik ditanggung oleh pemproses grafik dalaman, Radeon Vega 8 dan Vega 10.

Ada dua slot RAM disediakan yang menyokong konfigurasi RAM dual-channel. Tapi, daripada kilang, ia diberikan RAM biasa sehingga 16GB mengikut spesifikasi pilihan pembeli.

Antara ciri menarik laptop ini adalah log masuk menggunakan pengimbas cap jari yang turut bertindak sebagai butang kuasa. Untuk lakukan sidang video, kamera webnya tersembunyi dalam papan kekunci. Ia adalah sudut yang agak pelik untuk bersidang video kerana orang sebelah sana akan nampak dagu anda dulu sebelum mata.

Kemudian, ia turut ada ciri kolaborasi multipaparan menggunakan telefon V30 seperti yang boleh anda temui pada laptop Matebook dengan Mate 30 Pro.

Port I/O yang disediakan kepada pengguna ada beberapa jenis. Anda boleh temui 1 port USB-C yang turut digunakan untuk mengecas bateri, 1 port HDMI, 1 port USB 3.0, dan 1 port USB 2.0.

Untuk hayat bateri, MagicBook 14 yang ada tenaga 56Wh boleh berkhidmat sehingga 9.5 jam lamanya bergantung pada cara penggunaan. Pengecas 65W yang dibekalkan boleh mengisi pantas daripada 0 hingga 46% dalam masa cuma 30 minit. MagicBook 15 miliki kapasiti bateri yang lebih kecil. Pada 42Wh, hayat bateri yang lebih pendek boleh dijangkakan.

BACA  Honor memulakan tahun 2020 dengan Jualan Pilihan Pengguna

Ada beberapa perisa MagicBook boleh diperolehi dan harganya adalah seperti berikut:

  • MagicBook 14 (Windows, Ryzen 5, RAM 8GB, Storan 512GB) – CNY 3,899 (RM 2,317)
  • MagicBook 14 (Windows, Ryzen 7, RAM 8GB, Storan 512GB) – CNY 4,199 (RM 2,495)
  • MagicBook 15 (Windows, Ryzen 5, RAM 8GB, Storan 512GB) – CNY 3,899 (RM 2,317)
  • MagicBook 14 (Linux, Ryzen 5, RAM 8GB, Storan 512GB) – CNY 3,599 (RM 2,319)
  • MagicBook 14 (Linux, Ryzen 7, RAM 8GB, Storan 512GB) – CNY 3,899 (RM 2,317)
  • MagicBook 15 (Linux, Ryzen 5, RAM 8GB, Storan 256GB) – CNY 3,299 (RM 1,960)
  • MagicBook 15 (Linux, Ryzen 5, RAM 8GB, Storan 512GB) – CNY 3,599 (RM 2,319)

Walaupun Honor memaklumkan yang ada antara laptop ini akan tiba di Malaysia, mereka tidak kongsikan model yang mana dan bilakah ia akan tiba.