fbpx

Lenovo ThinkBook 14 & 15 terbaru lebih mesra generasi-Z

Thinkpad adalah satu jenama laptop yang diakui sangat tahan lasak dan teguh penggunaannya. Tetapi ia masih mengekalkan rekaan yang agak kuno memandangkan ramai peminat lamanya masih gemar dengan rupanya. Untuk menarik minat generasi muda, Lenovo memperkenalkan barisan ThinkBook bagi mereka yang inginkan kualiti Thinkpad yang dipercayai pada harga mampu dimiliki.

Terdapat dua model laptop ThinkBook baru yang dilancarkan di Malaysia, ThinkBook 14 dan ThinkBook 15. Seperti namanya, ia memiliki saiz skrin yang berbeza, satu berukuran 14-inci dan satu lagi 15.6-inci, dengan resolusi HD Penuh tetapi tiada fungsi sentuhan.

Kuasa laptop ThinkBook baru menggunakan pemproses Intel Core-i generasi ke-10, dengan RAM DDR4 sehingga 24GB. Kuasa grafiknya boleh dimuatkan sehingga cip Intel UHD Graphics dan AMD Radeon 620. Bagi ThinkBook 14, hanya ada satu ruang storan antara yang boleh memuatkan storan M.2 SSD atau SATA HDD. Tetapi ThinkBook 15 memiliki dua slot untuk storan, satu untuk M.2 SSD dan satu lagi SATA HDD.

Ciri-ciri keselamatan yang terdapat di laptop ini adalah seperti pengimbas capjari yang ditanam ke dalam butang kuasa, selak ThinkShutter untuk menutup kamera web dan tempat menyimpan dongle USB untuk mengelakkan ia hilang apabila tidak digunakan.

Port sambungan yang mencukupi terdapat di ThinkBook terbaru ini. Paling utama adalah port USB-C penuh yang boleh menyambung dan memberi kuasa kepada monitor melalui satu kabel sahaja. Selain itu, ia juga ada port USB-A, USB 3.0, HDMI, Gigabit Ethernet serta Bluetooth 5.0 dan WiFi 6.

Tenaga bateri pada laptop ini boleh memberi kuasa sehingga 12 jam lamanya. Ia juga datang bersama pengecasan pantas yang boleh mengisi 80% dalam masa 60 minit.

Kedua-dua laptop ini boleh digolongkan sebagai laptop yang nipis dan ringan. Berat bagi ThinkBook 14 hanyalah 1.5kg dengan ketebalan 17.9mm sahaja. ThinkBook 15 pula memiliki berat 1.8kg.

BACA  Blackpink akan datang ke Malaysia untuk pelancaran Galaxy A51 dan A71

Laptop Lenovo ThinkBook 14 dan ThinkBook 15 kini telah dijual dan boleh dibeli di Stor Eksklusif Lenovo di seluruh negara. Harga untuk ThinkBook 14 bermula dari RM3,439 manakala ThinkBook 15 pula dari RM4,299.

Dalam majlis yang sama, Lenovo turut mengumumkan kerjasama dengan pusat komuniti “coworking space”, Common Ground. Common Ground akan mula menawarkan perkhidmatan sewa peranti untuk pelanggan. Mereka akan menggunakan barisan laptop Lenovo ThinkBook baru untuk disewa secara eksklusif di cawangan Bukit Bintang, KL Eco City dan TTDI.