fbpx

Petrol RON95 akan dinaikkan harga setiap minggu bermula tahun depan

Bermula Januari 2020, Program Subsidi petrol (PSP) akan mula dilaksanakan untuk mengurangkan beban pengguna. Dari situ juga, harga petrol RON95 akan diapungkan secara berperingkat.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Chong Chieng Jen menjelaskan, kementerian telah memutuskan untuk menaikkan harga RON95 sebanyak satu sen setiap minggu, sehinggalah harganya mencapai harga pasaran semasa. Langkah ini diambil untuk mengelakkan harga barangan dari naik secara mendadak.

Perkara ini dijelaskan Chong Chieng Jen dalam sesi jawapan lisan di sidang Dewan Rakyat hari ini terhadap soalan tambahan yang dikemukakan oleh Rubiah Wang, ahli parlimen Kota Samarahan yang mahu tahu mekanisme kementerian bagi mengelak harga barang meningkat selepas pelaksanaan PSP. Tambah beliau lagi, PSP tidak akan dilaksanakan di Sarawak, Sabah dan Labuan, sebaliknya pengguna di sana akan terus menikmati harga subsidi RON95 pada harga RM2.08 seliter.

PSP akan diberikan kepada mereka yang berdaftar di bawah skrim Bantuan Sara Hidup (BSH). Data mereka telah disemak dan pemilikan kenderaan mereka disahkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk kelayakan. Seramai 2.9 juta orang telah dikesan layak menerima bantuan PSP bagi golongan B40.

Kerajaan akan memberikan subsidi sebanyak RM30/bulan untuk kereta dan RM12/bulan untuk motorsikal. Pemberian subsidi ini juga akan diberi setiap 4 bulan. Bermakna, pemilik kereta akan menerima RM120 setiap 4 bulan, manakala motorsikal RM48 setiap 4 bulan.

Orang ramai boleh menyemak kelayakan penerimaan PSP B40 menerusi laman web PSP di alamat https://psp.kpdnhep.gov.my/. Jika anda layak, sila kemaskini maklumat peribadi anda agar bantuan disalurkan ke dalam akaun anda. Jika tidak, ia akan disalurkan ke akaun ibu atau bapa yang menjadi ketua isi rumah. Tarikh akhir kemas kini adalah pada 30 November 2019.

BACA  Unifi Plus Box berkeupayaan 4K akan diperkenal tidak lama lagi?

Sumber: Harian Metro